3 laporan polis dibuat terhadap bekas wartawan FMT berkait soalan kontroversi

KUALA LUMPUR: Bekas wartawan portal berita Free Malaysia Today (FMT) ditahan untuk siasatan susulan tiga laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ia berhubung penularan rakaman video memaparkan lelaki itu mengemukakan soalan kepada ahli politik United Kingdom (UK), George Galloway dalam wacana terbuka Gaza Expose The Complicity of International Actors.

“Setakat ini sebanyak tiga laporan polis telah diterima berkaitan isu berkenaan, sekali gus menimbulkan kegusaran awam,” kata Kumar merujuk kenyataan kontroversi membandingkan isu Palestin dengan isu perkauman di Malaysia.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kumar menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang dipercayai menimbulkan hasutan serta permusuhan dalam kalangan masyarakat.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial,” tambahnya.

Di KULIM, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata lelaki berkenaan akan dibebaskan selepas rakaman percakapan beliau diambil pihak polis bagi membantu siasatan.

Katanya, perkara itu disahkan selepas dimaklumkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail pagi ini.

“Selepas dibebaskan dan apabila diperlukan untuk melengkapkan siasatan, dia akan dipanggil bila-bila masa.

“Siasatan masih dijalankan, setelah siasatan lengkap dan kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, keputusan lanjut adalah di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

Menjelaskan demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Inden Projek Mesra Rakyat di Kulim Hi-tech Park, hari ini, Saifuddin berkata, sebagai rakyat Malaysia, prinsip kebebasan bersuara perlu sentiasa dihormati.

“Namun kebebasan itu perlu disertai dengan rasa tanggungjawab, khususnya dalam kalangan pengamal media.

“Dalam insiden berkenaan, agensi media diwakili wartawan terbabit sendiri menyatakan bahawa pandangan atau soalan dibangkitkan tidak mencerminkan pendirian organisasi media berkenaan yang turut tampil membuat permohonan maaf,” katanya.

Beliau berkata, apabila ada aduan berhubung perkara berkenaan, polis perlu mempertimbangkan langkah seterusnya sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

“Bila ada satu perbuatan, ia akan mengundang tindakan. Apabila ada aduan seperti itu, saya percaya polis perlu menimbangkan tindakan selanjutnya. Itu adalah proses pertama,” katanya.

Beliau percaya bekas wartawan terbabit akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan serta memberikan keterangan yang diperlukan.

“Ada pihak berpendapat bahawa kebebasan bersuara, khususnya kebebasan wartawan perlu dipertahankan sepenuhnya. Sebahagian pihak lain berpandangan insiden berkenaan melampaui batas,” katanya.