Pakar jantung IJN terpilih sertai pasukan pembedahan Sultan Brunei

KUALA LUMPUR – Ketua Kardiologi dan Pengarah Perkhidmatan Kegagalan Jantung, Datuk Seri Dr Azmee Ghazi dipilih menjadi sebahagian daripada pasukan perubatan Sultan Brunei, Sultan Hasanal Bolkiah bagi menjalani prosedur pembedahan penting,

Institut Jantung Negara (IJN) dalam kenyataannya berkata, pemilihan pakar perubatan tersebut mencerminkan keyakinan yang diberikan terhadap kepimpinan klinikal dan kepakaran khusus IJN pada tahap penjagaan tertinggi.

“IJN amat berbesar Jemputan untuk menyumbang kepakaran bersama pasukan perubatan khusus Kebawah Duli Yang Maha Mulia merupakan satu pengiktirafan profesional yang amat signifikan.

“Ia menegaskan kedudukan IJN sebagai pusat kecemerlangan serantau, dengan kepakaran yang mendapat pengiktirafan merentasi sempadan bagi rawatan kardiovaskular yang kompleks dan berperingkat tinggi, berteraskan pengalaman berdekad-dekad, pencapaian klinikal serta piawaian yang tidak pernah dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah IJN, penglibatan Dr Azmee menjadi bukti kepada kepimpinan beliau dalam bidang kardiologi lanjutan dan pengurusan kegagalan jantung.

Ia juga menunjukkan komitmen IJN dalam melahirkan pakar yang memenuhi penanda aras antarabangsa tertinggi.

“Di IJN, kami sentiasa bersedia untuk menyalurkan kepakaran kami di mana jua diperlukan — berpaksikan profesionalisme, ketepatan dan amanah perkhidmatan yang berterusan,” kata kenyataan itu lagi.

IJN dalam masa sama turut mendoakan agar prosedur pembedahan yang dijalani Sultan Hasanal Bolkiah berjalan dengan lancar serta dikurniakan kesembuhan yang cepat dan sempurna. –MalaysiaGazette