Misteri Axia biru di Pantai Siring

JASIN: Misteri sebuah kereta Perodua Axia biru yang ditinggalkan hampir lima hari di kawasan Pantai Siring di Kampung Pulai, dekat sini akhirnya terungkai selepas polis berjaya menghubungi waris pemilik kenderaan berkenaan di Pahang.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert, mengesahkan kes itu tidak membabitkan sebarang unsur jenayah, sebaliknya kenderaan terbabit yang dimiliki seorang lelaki beralamat di Temerloh, digunakan anaknya berusia 31 tahun untuk keluar memancing ikan di sebuah kelong.

“Anggota polis ke lokasi susulan aduan orang awam dan berjaya mengesan serta menghubungi pemilik kenderaan yang kemudian memaklumkan anaknya berada dalam keadaan selamat dan sudah pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi berlebihan yang boleh mencetuskan kebimbangan awam, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya menemui situasi mencurigakan.

Terdahulu, beberapa rakaman video dan audio tular di media sosial membincangkan nasib pemandu yang dipercayai meninggalkan kenderaan itu untuk memancing dan dikhuatiri lemas.

“Kereta ini sudah beberapa hari berada di sini dan difahamkan pemiliknya pergi memancing. Kami bimbang kerana terlalu lama tidak ada sesiapa datang mengambilnya,” kata seorang penduduk.