PuTERA35 jamin kemakmuran dinikmati bersama – Rafizi

PUTRAJAYA: Kerajaan komited memastikan agenda Bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosio-ekonomi negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) tidak sama sekali akan menafikan hak kaum lain, sebaliknya mampu memberi kesan manfaat kepada semua kaum dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara.

Justeru, katanya, kerajaan memperkenalkan hala tuju baharu pembangunan ekonomi Bumiputera menerusi PuTERA35 sebagai satu langkah proaktif untuk mengangkat darjat dan martabat Bumiputera.

“Masih ada ruang dan peluang untuk semua bermuhasabah dan berikhtiar dalam mencari solusi terbaik agar sosioekonomi Bumiputera menjadi lebih maju dan makmur.

“Ini dapat dilakukan melalui reformasi struktur ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya pada Majlis Peluncuran PuTERA35 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini semalam.

Rafizi menegaskan, golongan Bumiputera mempunyai peluang dan potensi untuk memainkan peranan yang lebih bermakna dalam sektor dan industri baharu yang mempunyai nilai ditambah tinggi, termasuk industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.

“Namun, masih terdapat pelbagai isu yang membelenggu Bumiputera pada hari ini, seperti status sosioekonomi yang masih terperangkap dalam kelas menengah dan sederhana serta penyertaan Bumiputera yang tertumpu dalam aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang rendah,” katanya.

Katanya, hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera juga belum tercapai sepenuhnya memandangkan perusahaan Bumiputera dilihat mempunyai kurang keupayaan dan kemampuan untuk mencipta nilai.

“Keterbatasan modal dan sokongan pada peringkat awal, terutama syarikat pemula, turut menjadi faktor kepada isu ini yang seterusnya menyebabkan kebergantungan berterusan kepada geran dan pembiayaan dikeluarkan kerajaan.

“Sehingga 2022, Bumiputera hanya mewakili 7.0 peratus daripada syarikat tersenarai awam iaitu 62 syarikat daripada semua 945 syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.

“Malah, dalam penyertaan tenaga buruh, kadar pengangguran dalam kalangan Bumiputera juga masih tinggi.

“Justeru, penetapan hala tuju baharu agenda pembangunan Bumiputera menuntut kita untuk melihat isu dan cabaran dari sudut pandang berbeza, sama ada di peringkat domestik atau global,” katanya.