WASHINGTON: Selepas hampir 80 tahun, Amerika Syarikat (AS) secara rasmi bukan lagi sebahagian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ia selepas pentadbiran Presiden Donald Trump dilapor melengkapkan proses penarikan diri daripada agensi itu pada Khamis.
Menurut CNN, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan (HHS) AS memaklumkan tindakan itu diambil bagi memastikan dasar kesihatan negara tidak lagi terikat dengan pihak asing.
Trump sebelum ini mengemukakan notis melalui perintah eksekutif pada hari pertama penggal keduanya pada awal tahun lalu, untuk memastikan AS meninggalkan organisasi berkenaan secara sah.
Mengikut peraturan, AS dikehendaki memberi notis setahun dan melunaskan semua yuran tertunggak, namun pakar berpendapat negara itu tidak akan membayar hutang berkenaan.
HHS mengesahkan semua pembiayaan kerajaan AS kepada WHO kini ditamatkan sepenuhnya termasuk penarikan balik semua petugas dan kontraktor yang ditugaskan di organisasi itu.
Selain itu, AS juga berhenti menyertai sebarang jawatankuasa, badan kepimpinan dan kumpulan kerja teknikal yang ditaja WHO.
Seorang pegawai kanan pentadbiran menyifatkan langkah berkenaan sebagai janji yang ditepati kerana mendakwa WHO bertindak bertentangan dengan kepentingan rakyat AS.
Beliau mendakwa, AS tidak mendapat pulangan yang setimpal dengan nilai wang dan tenaga pakar yang diberikan kepada WHO selama ini.
Menurut CNN, AS turut membidas kegagalan WHO semasa pandemik COVID-19 yang didakwa lewat mengisytiharkan darurat sehingga meragut banyak nyawa.
Pentadbiran Trump mendakwa kepimpinan WHO lebih cenderung menyokong maklum balas China walaupun terdapat bukti awal mengenai penindasan maklumat jangkitan.
Bagaimanapun, pakar undang-undang kesihatan di Universiti Georgetown, Dr Lawrence Gostin menyifatkan tindakan penarikan diri AS sebagai langkah yang sangat membahayakan keselamatan nasional.
Beliau memberi amaran bahawa negara itu kini tidak lagi mempunyai akses pantas kepada data virus dan genetik yang kritikal untuk menghasilkan vaksin pada masa hadapan.
WHO sebelum ini menyifatkan tindakan penarikan diri AS ini sebagai situasi rugi-rugi yang dijangka memberi kesan negatif kepada sistem kesihatan global.

