Tengku Hazman puji karakter TFC ikat Red Giants

KUALA TERENGGANU: Pengendali sementara Terengganu FC (TFC), Tengku Hazman Raja Hassan memuji karakter anak buahnya yang berjaya memperagakan aksi bertenaga mengikat Selangor FC 1-1 pada saingan Liga Super malam tadi.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, skuad Penyu mendahului pada babak pertama menerusi kaptennya Careca sebelum kapten Selangor, Faisal Halim menyelamatkan pasukannya dengan gol penyamaan.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan ketika berdepan pasukan sebagus Selangor, maknanya kami berpeluang untuk melakar kemenangan.

“Saya lihat dari segi karakter dan kesediaan pemain nampak berbeza dengan masing-masing dapat memberikan aksi terbaik dan paling penting pasukan kami tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir termasuk saingan pusingan 16 Piala Malaysia,” katanya.

Beliau yang mengambil alih tugas ketua jurulatih daripada Badrul Afzan Razali yang direhatkan menegaskan skuadnya berpeluang menambah jaringan jika setiap gerakan yang dicipta berjaya disudahkan.

“Kami mempunyai deretan peluang yang boleh menghasilkan jaringan pada setiap babak, namun ia gagal disudahkan dengan baik.

“Penyerang baharu, Gervane Kastaneer pula dilihat sedikit kaku, mungkin masih tercari-cari rentak kerana baharu dua hari menyertai latihan, jadi kami tidak meletakkan harapan yang tinggi kepadanya.”

Keputusan seri itu menyaksikan TFC kekal menghuni tangga kelima dengan mengumpul 25 mata selepas 16 perlawanan.