KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa hari ini menyerbu 10 premis menjual rokok elektronik (vape) serta cecair vape yang beroperasi di sebuah pusat jualan borong terkemuka di Chow Kit, di sini, dalam satu operasi khas, hari ini.
Operasi dilaksanakan oleh Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Ops E-CIG Mega dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari, berkata operasi dijalankan susulan penjualan rokok elektronik yang berleluasa tanpa kebenaran di kawasan tanggungjawab briged berkenaan.
Katanya, operasi itu dijalankan susulan penjualan vape yang berleluasa tanpa kebenaran dan beberapa lokasi sudah dikenal pasti sebelum pemeriksaan dibuat.
“Sebanyak 10 premis diperiksa dan pemeriksaan mendapati wujud kesalahan tertentu sama ada di bawah pihak berkuasa tempatan atau Kementerian Kesihatan.
“Antara kesalahan yang dikesan antaranya kesalahan berkaitan cukai, peranti dan cecair vape tidak berdaftar, tiada lesen premis, permit menjual dan menggaji warga asing ,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, Op E-CIG Mega dijalankan serentak di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan sekurang kurangnya 150 premis diperiksa.
“Operasi di bawah Briged Tengah PGA merangkumi lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya.
Hakemal berkata, butiran lanjut mengenai rampasan dan kesalahan akan dimaklumkan dalam sidang media yang dijadualkan diadakan dalam masa terdekat.
Mengulas kanjut, Hakemal berkata kekuatan operasi, hari ini membabitkan tujuh pegawai dan 41 anggota PGA.
Operasi turut disertai seramai 25 pegawai dan anggota KKM Kuala Lumpur serta KKM Putrajaya bagi menyemak pematuhan peraturan kesihatan.
Difahamkan, KKM turut membuat rampasan cecair vape yang dikesan tidak berdaftar mengikut Seksyen 3 Akta 852.
Kesalahan itu memperuntukkan denda terhadap syarikat tidak kurang RM20,000 manakala individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000.

