Lelaki ditahan di Thailand seludup tanduk badak sumbu dalam daging

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand menahan seorang lelaki kerana disyaki menyeludup lebih 11 kilogram (kg) tanduk badak sumbu yang disorokkan di dalam daging berbungkus.

Kes membabitkan lelaki warga Vietnam berusia 36 tahun itu dikaitkan pegawai pada Selasa dengan rangkaian penyeludupan hidupan liar antarabangsa.

Dia ditahan pada Isnin selepas tiba di lapangan terbang antarabangsa utama Bangkok kerana disyaki melakukan import hidupan liar secara haram, menurut kenyataan Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan.

Menurut jabatan itu, suspek dalam perjalanan dari Lubumbashi di Republik Demokratik Congo ke Laos, dengan transit melalui Ethiopia dan Thailand.

Pihak berkuasa lapangan terbang bersama polis merampas enam tanduk badak sumbu serta kira-kira 12kg daging yang tidak dikenal pasti yang digunakan untuk menyembunyikan tanduk berkenaan di dalam sebuah kotak ais polistirena.

Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan Thailand (DNP) menunjukkan seorang pegawai DNP membuka bungkusan tanduk badak sumbu yang dirampas pihak kastam daripada seorang pengembara warga Vietnam di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand. – Foto AFP
Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan Thailand (DNP) menunjukkan seorang pegawai DNP membuka bungkusan tanduk badak sumbu yang dirampas pihak kastam daripada seorang pengembara warga Vietnam di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand. – Foto AFP

“Terdapat beberapa keganjilan pada imbasan sinar-X bagasi berdaftar, menyebabkan pihak berkuasa membuat pemeriksaan,” kata jabatan itu.

Sadudee Panpakdee, pengarah bahagian CITES jabatan berkenaan, memberitahu AFP bahawa pihak berkuasa belum pasti nilai tanduk yang dirampas atau jenis daging yang digunakan untuk menyembunyikannya.

Barangan rampasan itu dihantar ke makmal forensik hidupan liar untuk pemeriksaan lanjut, kata pegawai.

Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga satu juta baht (RM125,664).

Kelima-lima spesies badak sumbu dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa dan perdagangan tanduknya diharamkan.

Thailand adalah hab transit utama bagi penyeludup hidupan liar yang sering menjual spesies terancam bernilai tinggi di pasaran gelap yang menguntungkan di Asia. – AFP