ADDIS ABABA: Presiden Palestin, Mahmud Abbas menggesa semua halangan yang dikenakan Israel terhadap pelaksanaan fasa kedua gencatan senjata di Gaza segera disingkirkan.
Beliau berkata, ia termasuk usaha jawatankausa teknokratik yang ditubuhkan untuk menyelia tadbir urus harian Gaza.
Beliau menegaskan bahawa kewujudan halangan itu perlu dimansuhkan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan, penyelarasan usaha kemanusiaan dan membolehkan pemulihan pantas pembangunan di wilayah berkenaan.
“Kami menegaskan keperluan untuk menghapuskan semua halangan yang dikenakan oleh pendudukan Israel terhadap pelaksanaan peruntukan berkaitan fasa kedua perjanjian gencatan senjata,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Perdana Menteri Palestin, Mohammed Mustafa, pada Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika di Ethiopia, semalam.
Mahmud juga menuduh Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, yang berkuat kuasa pada Oktober dan disokong oleh AS.
Beliau mendedahkan pelanggaran itu mengakibatkan ratusan rakyat Palestin terbunuh.
“Sejak pengumuman gencatan senjata sehingga hari ini, lebih 500 rakyat Palestin terbunuh (di Gaza), yang mengancam ketahanan gencatan senjata dan pelaksanaan penuh fasa keduanya,” katanya.
Walaupun gencatan senjata yang diusahakan AS memasuki fasa kedua bulan lalu, keganasan masih berterusan di wilayah Palestin, dengan Israel dan Hamas saling menuding jari mengenai pelanggaran perjanjian.
Perjanjian itu bermatlamat menamatkan perang Gaza secara kekal dan disokong pada November oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Fasa kedua memperuntukkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza dan pelucutan senjata Hamas, selain penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa bagi menjamin keselamatan.
Hamas berulang kali menegaskan bahawa pelucutan senjata adalah garis merah, namun menyatakan kesediaan mempertimbangkan penyerahan senjata kepada pihak berkuasa Palestin yang bakal mentadbir.
Ketika ini, tentera Israel masih menguasai lebih separuh Semenanjung Gaza, manakala Hamas dan Israel saling menuduh antara satu sama lain melanggar gencatan senjata setiap hari.
Seramai 15 pakar Palestin dalam jawatankuasa teknokratik itu yang dipantau oleh Lembaga Keamanan ditubuhkan Presiden AS, Donald Trump, yang ketika ini berpangkalan di Mesir.
Meskipun lintasan sempadan Rafah yang menjadi satu-satunya pintu keluar Gaza ke dunia luar yang tidak menuju ke Israel, sebahagiannya dibuka semua pada 2 Februari lalu. – AFP

