Irfan Bakti bangga KRW mampu saingi pasukan Liga Super

GEORGETOWN: Pengendali Kelantan Red Warrior FC (KRW), Irfan Bakti Abu Salim tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun perjuangan mereka dalam saingan Piala Cabaran terkandas di peringkat suku akhir, petang semalam.

Jurulatih berusia 75 tahun itu menyifatkan kekalahan tipis 1-0 kepada Penang FC yang turun sebagai pasukan pilihan hanya disebabkan satu kesilapan kecil yang membawa padah besar pada penghujung perlawanan.

“Kami kalah disebabkan satu tandukan bola tinggi, itu sahaja, tiada sesiapa yang menjaga pemain nombor 32 itu (Douglas Cautinho) apatah lagi selepas saya mengeluarkan Wesley Barnaske yang melakukan tugasnya dengan amat baik mengawal pemain tinggi.

“Itulah kesilapan kecil yang menjadi besar sehingga menentukan keputusan perlawanan yang tidak memihak kami,” kata Irfan Bakti ketika ditemui selepas perlawanan.

Irfan Bakti turut memuji komitmen dan semangat juang anak buahnya yang dilihat mampu memberikan tentangan sengit kepada kelab Liga Super dan menyifatkannya sebagai perkembangan positif buat pasukan berstatus A1 Semi-Pro itu.

“Saya puas hati anak buah saya boleh bersaing dengan pasukan Liga Super termasuk berdepan dengan lapan pemain mereka import yang diturunkan dalam kedua-dua babak permainan.

“Namun kami mahu melupakan Piala Cabaran. Kami perlu memberi konsentrasi penuh untuk perlawanan seterusnya di Perlis dalam tempoh kira-kira tiga hari lagi dan harus mengutip mata di sana,” katanya.