TUMPAT: Pihak berkuasa sudah mengenal pasti keberadaan wanita dikenali sebagai ‘Luna’ dipercayai dalang utama sindiket penyeludupan bunga ganja bernilai RM1.82 juta yang dipercayai melarikan diri ke negara jiran.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk menahan wanita itu sebelum dibawa ke Malaysia untuk siasatan lanjut.
“Dah kenal pasti lokasi (keberadaan Luna) dan tunggu maklumat dari pihak berkuasa sana (Thailand). Kita masih bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan beliau (Luna) dan dibawa ke Malaysia untuk siasatan lanjut, insya-Allah…dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya sempena Op Selamat Tahun Baharu Cina 2026, di sini, hari ini.
Pada 11 Januari, media melaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Kelantan dengan penahanan tiga lelaki tempatan serta rampasan 52 kilogram bunga ganja bernilai RM1.82 juta dalam dua siri serbuan di Kuala Krai, pada 3 Januari.

