WASHINGTON: Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, memberitahu Reuters bahawa tentera Thailand menduduki wilayah negara itu secara tidak sah selepas pertempuran tahun lalu.
Katanya, pencerobohan itu berterusan, mengancam perjanjian gencatan senjata ‘rapuh’ yang dimeterai pada Disember lalu bagi menamatkan pertempuran semula antara kedua-dua negara, diusahakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Justeru, Hun Manet menggesa Thailand supaya membenarkan Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) memulakan kerja di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Beliau yang tiba di Washington untuk menghadiri mesyuarat Lembaga Keamanan Trump minggu ini berharap badan baharu itu dapat memainkan peranan meredakan ketegangan di sempadan.
Lembaga itu diwujudkan bagi menyelia pelan keamanan Gaza, namun Trump berkata ia boleh memainkan peranan lebih luas.
Thailand pula berkata, pihaknya mengekalkan kedudukan tentera sebagai sebahagian langkah meredakan ketegangan dan menafikan dakwaan menduduki mana-mana wilayah.
Kenyataan pemimpin Kemboja itu menggambarkan risiko konflik boleh tercetus semula walaupun Trump terus mempromosikan kejayaan perjanjian damai berkenaan.
Pertempuran terburuk dalam tempoh lebih sedekad yang tercetus pada Julai lalu menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal dan mengganggu perdagangan di sepanjang sempadan sejauh 817 kilometer (km).
Perjanjian damai pada Oktober yang ditandatangani bersama Trump dan a Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, punah dalam tempoh beberapa minggu sebelum gencatan senjata baharu dicapai pada 27 Disember lalu.
“Masih ada tentera Thailand yang menduduki jauh ke dalam wilayah Kemboja, meliputi banyak kawasan. Ini melangkaui tuntutan sebelah pihak Thailand sendiri⦠garisan sempadan,” kata Hun Manet kepada Reuters dalam temu bual pertamanya dengan media antarabangsa,
Tambahnya, tentera Thailand meletakkan kontena penghantaran dan dawai berduri di dalam kawasan yang sejak sekian lama diiktiraf Thailand sebagai wilayah Kemboja, menyebabkan penduduk tidak dapat pulang ke rumah.
“Ini bukan tuduhan tetapi satu kenyataan mengenai fakta di lapangan.
Kemboja tidak boleh menerima apa yang disifatkannya sebagai pelanggaran kedaulatan atau keutuhan wilayah kami.
“Satu-satunya cara untuk mengesahkannya ialah menggunakan mekanisme teknikal yang kami ada, berasaskan perjanjian, berasaskan semua persetujuan yang kami capai.
“Jadi kami harap Thailand akan bersetuju dan mula membenarkan JBC berfungsi seawal mungkin,” katanya sambil menambah, Thailand selama ini menyatakan pilihan raya pada 8 Februari sebagai alasan tidak memulakan kerja penandaan sempadan.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengambil kesempatan susulan gelombang nasionalisme dalam pilihan raya untuk mengaitkannya dengan konflik sempadan itu.
“Kini pilihan raya sudah selesai, kami berharap Thailand boleh memulakan, sekurang-kurangnya pada peringkat teknikal, untuk mula mengukur, menanda di zon panas, supaya kami boleh kembali kepada kehidupan biasa,” katanya.
Pemimpin veteran Kemboja, Hun Sen, mengumumkan beliau akan menyerahkan kuasa kepada anaknya, Hun Manet, selepas pilihan raya 2023 yang menyaksikan parti pemerintah, Parti Rakyat Kemboja (CPP) bertanding hampir tanpa saingan.
Manet, 48, yang juga graduan Akademi Tentera Amerika Syarikat di West Point diangkat sebagai perdana menteri, kemudian disusuli pembabitan Trump dalam pertikaian sempadan dan hubungan yang lebih mesra antara Washington dan Phnom Penh, yang sejak beberapa tahun lalu semakin rapat dengan China.
Manet berkata, hubungan dengan China dan AS ‘bukan hubungan dua hala yang eksklusif’ dan menegaskan Kemboja tiada apa-apa untuk disembunyikan mengenai pangkalan tentera laut Ream yang dinaik taraf oleh China. – REUTERS

