15 pokok berisiko tumbang di Persiaran Tun Arshad Ayub, MBSA bertindak segera elak insiden kereta pensyarah dihempap berulang

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengenal pasti 15 pokok berusia 30 tahun di sekitar kawasan Persiaran Tun Arshad Ayub, di sini, lokasi insiden dua pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) cedera selepas Mitsubishi Xpander mereka naiki dihempap pokok tumbang, minggu lalu.

Pengarah Landskap MBSA, Majidah Md Ali, berkata pihaknya sudah melaksanakan tindakan segera dengan memangkas dahan bagi mengurangkan beban memandangkan pokok berkenaan berisiko tumbang, selain melantik profesional daripada arboris (pakar tumbuhan berkayu) membuat penilaian awal ke atas semua pokok di persiaran itu.

“Ada 264 lagi pokok teduhan di kawasan terbabit yang perlu dibuat penilaian awal, sama ada perlu dipangkas sahaja bagi mengurangkan dahan atau ditebang. Laporan sudah siap hari ini untuk keseluruhan jalan berkenaan.

“Di kawasan itu, 15 pokok yang berisiko ditanam ketika pembangunan dibuat kira-kira 30 tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas majlis angkat sumpah Datuk Bandar Shah Alam ke-13, Datuk Zabidah Safar, Datuk Bandar wanita pertama di Shah Alam di Wisma MBSA, di sini hari ini.

Zabidah, 58, yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam dilantik menggantikan Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Datuk Zabidah Safar, menjadi wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Shah Alam. - NSTP/Ruwaida Md Zain
Datuk Zabidah Safar, menjadi wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Shah Alam. – NSTP/Ruwaida Md Zain

Mengenai dakwaan struktur tanah di kawasan itu punca pokok berkenaan tumbang, Majidah berkata, ia mungkin andaian awal dan pihaknya perlu membuat semakan dengan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

“Apabila berlaku insiden itu, kita tengok akar pokok berkenaan sudah reput dan ada tepu air yang tinggi di situ, tetapi kita akan semak,” katanya.

Sementara itu, Zabidah berkata, beliau akan fokus kepada semua masalah berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT), terutama isu sampah, banjir dan jalan, selain data-data dan perkara yang menjadi keutamaan agar tindakan pantas dapat diambil untuk mengatasi apa juga isu.