Lebih 80,000 isi rumah Singapura terima baucar bagi penambahbaikan rumah mesra warga emas

SINGAPURA: Lebih 80,000 isi rumah yang menetap di hartanah persendirian di Singapura akan menerima baucar bernilai S$1,200 bagi menampung kos pemasangan kelengkapan terpilih mesra warga emas di bawah satu program nasional yang bertujuan menambah baik persekitaran kediaman fizikal bagi golongan itu di republik berkenaan.

Menteri Pembangunan Negara, Chee Hong Tat, hari ini mengumumkan bahawa Program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif (Perumahan Privet) atau EASE (Privet) akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 April.

“Seiring dengan penuaan penduduk Singapura, kami mahu menyokong warga emas agar dapat menua dengan sejahtera dalam komuniti dan di kediaman sendiri,” menurut Kementerian Pembangunan Negara dalam kenyataan.

EASE (Privet) adalah peluasan kepada program EASE bagi isi rumah yang menetap di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Menurut kementerian itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerajaan telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan mesra warga emas di kawasan perumahan awam dan persendirian.

Ini termasuk program naik taraf di peringkat estet seperti Program Pembaharuan Kejiranan dan Program Naik Taraf Silver bagi estet perumahan awam serta Program Naik Taraf Estet (Silver Estate) bagi estet persendirian.