Empat tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran dua rumah

KLUANG – Tiga mangsa daripada dua keluarga berdepan detik cemas apabila apabila rumah mereka di Jalan Balau, Kampung Masjid lama di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, keluarga berkenaan yang berjiran tinggal sehelai sepinggang, tidak sempat menyelamatkan dokumen dan barang berharga kerana kebakaran berlaku dengan cepat.

“Terdapat empat penghuni iaitu seorang pembantu rumah wanita berusia 20 tahun, lelaki dewasa berusia 57 tahun dan perempuan dewasa berumur 80 tahun manakala seorang lagi tiada di rumah semasa kebakaran berlaku.

“Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari kebakaran berlaku,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.05 petang.

Susulan itu ujarnya, 12 anggota bersama-sama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Saifulfadly Karim dan dibantu BBP Renggam dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati dua buah rumah yang dibina secara berdekatan telah musnah terbakar kira-kira 60 peratus sebelum kerja-kerja memadamkan kebakaran dilakukan,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, PKO melaksanakan pemadaman menggunakan dua aliran dengan dua pancutan melalui sumber air dari pili bomba berdekatan kawasan kejadian sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Ujarnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua rumah tersebut musnah kira-kira 80 peratus.- MalaysiaGazette