Rakyat tolak kenaikan had pengeluaran KWSP, gesa dividen dimasukkan ke akaun fleksibel – HAKS

KUALA LUMPUR – Rakyat secara keseluruhan menolak cadangan menaikkan had pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada RM1 juta kepada RM1.1 juta dan seterusnya RM1.3 juta kerana didakwa tidak memberi manfaat kepada majoriti pencarum.

Pengerusi Persatuan Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, statistik menunjukkan seramai 130,000 rakyat Malaysia terjejas susulan pelaksanaan baharu itu sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keadilan sosial dan kelangsungan hidup golongan terkesan.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, kira-kira 70,000 individu dilaporkan tidak mempunyai pekerjaan, khususnya mereka yang diberhentikan kerja.

“Golongan ini bergantung sepenuhnya kepada dividen KWSP yang dimasukkan ke dalam akaun masing-masing bagi menampung keperluan harian seperti makan minum, bayaran yuran pengajian anak serta komitmen pinjaman rumah dan kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, keadaan dijangka menjadi lebih sukar apabila dividen KWSP yang bakal diumumkan hanya memperuntuk 10 peratus ke Akaun 3 (Fleksibel) manakala 90 peratus lagi disalurkan ke Akaun 1 dan Akaun 2.

Rakyat, katanya, berharap agar keseluruhan dividen dimasukkan terus ke Akaun 3 bagi membolehkan pengeluaran dibuat untuk menampung perbelanjaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Had baharu RM1.3 juta ini menyebabkan ramai hilang punca untuk meneruskan kehidupan. Ia tidak menyelesaikan masalah sebenar rakyat sebaliknya melebarkan jurang ketidaksamaan dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar,” ujar beliau.

Shahir menegaskan, isu KWSP bukan sekadar soal teknikal tetapi melibatkan prinsip dan keadilan sosial.

“Dalam situasi ramai pekerja diberhentikan dan kehilangan pendapatan tetap, simpanan KWSP menjadi sandaran utama untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Sehubungan itu, HAKS mewakili suara pencarum KWSP menyeru Kementerian Kewangan agar menarik balik cadangan kenaikan had pengeluaran tersebut demi kepentingan rakyat dan masa depan negara. – MalaysiaGazette