MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 74 orang maut di Mexico, termasuk 25 pegawai Pengawal Negara, dalam operasi yang mengorbankan ketua kartel dadah, ‘El Mencho’ dan keganasan yang menyusul selepas itu.
Menteri Keselamatan Omar García Harfuch, yang dipetik Agensi Berita Jerman (dpa), berkata pihak berkuasa Mexico mengerahkan tambahan 2,500 anggota tentera ke negeri Jalisco di bahagian barat negara itu.
Ia adalah tambahan kepada 7,500 anggota tentera yang dikerahkan sebelum ini, susulan keganasan yang tercetus selepas penangkapan dan kematian ketua kartel paling dikehendaki negara itu, Nemesio ‘El-Mencho’ Oseguera.
Tambah Harfuch, seorang pengawal penjara, seorang anggota pejabat pendakwa raya negeri serta 30 individu yang disyaki anggota pertubuhan jenayah Oseguera turut terbunuh dalam operasi berkenaan.
Oseguera sebelum ini ditawarkan ganjaran AS$15 juta (RM58.3 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapannya.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Ricardo Trevilla berkata, lapan lelaki bersenjata yang disyaki anggota kartel terbunuh dalam operasi pasukan khas untuk menahannya, manakala tiga anggota tentera cedera.
Walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, belum memberikan sebarang maklum balas rasmi berhubung kematian Oseguera, beliau memuat naik kenyataan ringkas di platform Truth Social miliknya dengan menyatakan: “Mexico mesti meningkatkan usaha mereka terhadap kartel dan dadah!”
Washington mengklasifikasikan kartel itu sebagai sebuah pertubuhan pengganas dan menuduh kumpulan itu menyeludup kokain, heroin, metamfetamina serta fentanil ke AS.
Serbuan berkenaan berlaku ketika tekanan berterusan oleh Trump terhadap Mexico supaya membendung aliran dadah ke negara itu atau berdepan tarif yang tinggi.
Pada Ahad, anggota tentera cuba menahan ketua dadah itu, yang nama penuhnya ialah Nemesio Oseguera Cervantes, di negeri Jalisco, bahagian barat negara itu, yang juga salah satu bandar tuan rumah bagi Piala Dunia FIFA tahun ini.

Oseguera mengalami kecederaan dan meninggal dunia ketika diterbangkan ke Mexico City. Operasi berkenaan mencetuskan reaksi ganas daripada kumpulan kartel itu.
Individu yang disyaki anggota sindiket jenayah itu kemudiannya bertindak membakar kereta di 20 negeri dan menyekat banyak laluan jalan raya. Mereka turut menyerang bank, stesen minyak dan kedai.
Keganasan turut mencengkam bandar peranginan Puerto Vallarta yang popular dalam kalangan pelancong AS.
Amaran perjalanan oleh Britain, Kanada dan AS dikeluarkan susulan kes itu, manakala Australia menggesa rakyatnya supaya ‘mengambil langkah berhati-hati’.
Puluhan penerbangan dari AS dan Kanada dilaporkan dibatalkan.
Oseguera, 59, dianggap antara saki-baki gembong dadah yang beroperasi dengan corak kekejaman mirip ketua kartel yang kini dipenjarakan, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman dan Ismael ‘El Mayo’ Zambada, daripada kartel saingan Sinaloa. – AGENSI

