KWSP perjelaskan 12 anak syarikat rugi

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menjalankan semakan terperinci susulan kerugian yang direkodkan oleh 12 syarikat anak syarikatnya, seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menggulung perbahasan laporan itu, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata KWSP meletakkan kerugian berkenaan kepada lima kategori utama berdasarkan faktor asas perniagaan dan pelaburan.

“Kategori pertama berkaitan struktur modal. Dalam struktur ini, penggunaan pinjaman pemegang saham kepada subsidiari membolehkan KWSP menjana pulangan dalam bentuk faedah dengan lebih cekap dari segi percukaian dan pengurusan aliran tunai.

“Bagaimanapun, apabila keuntungan subsidiari dinilai selepas mengambil kira kos faedah, kerugian direkodkan di peringkat entiti.

“Perlu ditegaskan bahawa nilai pasaran aset dalam subsidiari ini melebihi kos pemerolehannya, menunjukkan asas pelaburan kekal kukuh dan kerugian yang dilaporkan adalah berkaitan perakaunan, bukannya mencerminkan kemerosotan sebenar nilai pelaburan,” katanya.

Kategori kedua, katanya, membabitkan syarikat pada fasa awal pelaburan, yang lazim dirujuk sebagai keluk J (J-curve).

Menurut Chin Tong, kerugian awal pada peringkat ini adalah perkara biasa sebelum pelaburan matang dan mula menjana pulangan stabil.

Pelaburan ini dijangka memasuki fasa pelupusan dan menjana pulangan besar bermula sekitar 2027.

“Kategori ketiga membabitkan pelarasan nilai saksama belum direalisasi. Kerugian yang direkodkan di bawah kategori ini adalah berkaitan perakaunan dan tertakluk kepada turun naik keadaan pasaran semasa.

“Ia tidak membabitkan aliran keluar tunai sebenar dan dijangka pulih sejajar dengan peningkatan sentimen serta keadaan pasaran pada masa hadapan,” katanya.

Kategori keempat pula, katanya, berkaitan struktur perniagaan, di mana sesetengah subsidiari mungkin mencatatkan kerugian, namun pelaburan keseluruhan masih menjana pulangan kepada KWSP melalui faedah dan dividen.

Nilai saksama pelaburan ini kekal jauh lebih tinggi daripada kos asal, sekali gus menunjukkan kedudukan aset bersih yang positif dan daya tahan walaupun terdapat cabaran di peringkat entiti tertentu.

“Kategori kelima meliputi kerugian operasi, yang berlaku apabila pendapatan semasa tidak mencukupi untuk menampung kos komersial.

“Dalam beberapa kes, faktor luaran seperti kadar penghunian rendah, aset yang semakin uzur dan cabaran dalam sektor hartanah telah menjejaskan prestasi kewangan,” katanya.

Beliau menambah, beberapa aset telah menunjukkan peningkatan nilai berbanding kos pemerolehan, mencerminkan potensi pemulihan dalam tempoh sederhana.

Bagi aset yang berdepan cabaran, Chin Tong berkata KWSP melaksanakan langkah proaktif, termasuk promosi lebih agresif bagi meningkatkan kadar penghunian, penambahbaikan komponen komersial, inisiatif baharu untuk menarik penyewa dan pengunjung, serta menilai pilihan pelupusan sekiranya langkah itu lebih menguntungkan dana berkenaan.