SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya proses tindakan lanjut berkaitan isu GISB Holdings (GISBH) dipercepatkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu antara permintaan baginda ketika sesi pertemuan mingguan beliau hari ini.
“Tuanku juga berpandangan bahawa pasukan siasatan perlu lebih cekap meneliti sebarang kesalahan berkaitan isu itu yang sebahagiannya membabitkan kes jenayah.
“Tiada spesifik (isu GISBH), namun baginda meminta supaya tindakan lanjut dipercepatkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Esok Dr Mohammad Fahmi Ngah (EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi) dijangka memberikan beberapa ‘finding’ (penemuan) mengenai perkara itu,” katanya selepas merasmikan penutupan Dialog Belanjawan Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, petang tadi.
Difahamkan, Amirudin mengadakan pertemuan lebih dua jam dengan Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan di sini, bermula pukul 12 tengah hari tadi.
Pertemuan rutin mingguan itu turut membincangkan beberapa keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkaitan
isu dan hala tuju negeri ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan menguatkuasakan larangan pengoperasian premis kepada GISBH selepas memperoleh laporan penuh daripada polis dan Jawatankuasa Agama Islam negeri.
“Sudah tentu polis perlu menjalankan siasatan penuh dan menyerahkannya kepada kami (kerajaan negeri) bagi tindakan lanjut tidak membenarkan mereka menggunakan premis di Selangor.
“Namun, ia juga perlu berlandaskan fatwa dan peraturan daripada jawatankuasa agama yang akan bermesyuarat nanti. Ini bukan kali pertama namun sudah tiga kali selepas Al-Arqam dan Rufaqa’,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Sultan Selangor menzahirkan dukacita apabila dikejutkan dengan berita siasatan polis terhadap GISBH dan rangkaiannya sebaik baginda berangkat pulang dari luar negara.
Baginda juga kesal dan kecewa kerana perkara itu berlanjutan untuk suatu tempoh lama dan tiada tindakan berkesan diambil bagi menanganinya.
Susulan itu, baginda menitahkan agar semua agensi agama Islam Selangor bersama polis (Kontinjen Selangor dan Bukit Aman) bekerjasama mengambil langkah serius menyiasat secara mendalam bagi memastikan semua yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dengan kesalahan jenayah ini diheret ke mahkamah dan didakwa.
Sementara itu dalam perkembangan berasingab, Amirudin berkata Belanjawan Selangor 2025 akan dibentangkan pada pertengahan November ini.
Katanya, sesi belanjawan tahunan itu sepatutnya dijadualkan 8 November ini, namun dianjak ke minggu kedua atau ketiga November.
“Kita ada perbincangan semula (mengenai tarikh pembentangan belanjawan) sebab kebanyakkan Yang Dipertua (YDP) dan pegawai akan berada di Mesir sempena World Urban Forum (WUF).
“Dari segi persediaan kita sudah mula daripada sekarang dan Insya-Allah sesi belanjawan akan dibuat pada minggu kedua atau ketiga November nanti,” katanya.