KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli kekal optimis sasaran untuk meraih podium dalam Kejuaraan Motosikal Dunia musim ini mampu dicapai sekiranya dia terus meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.
Pelumba pasukan MT Helmets MSI itu berkata, walaupun perlumbaan pembukaan musim di Grand Prix (GP) Thailand agak mencabar, dia percaya sasaran berkenaan tidak mustahil untuk direalisasikan.
Pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Buriram itu, Hakim Danish menamatkan perlumbaan sulung musim ini di kedudukan ke-18.
“Bagi saya, podium itu tidak mustahil. Dalam mentaliti saya memang mahu podium dan saya akan bekerja keras untuk capai sasaran itu.
“Saya harap ia dapat dicapai secepat mungkin dan saya akan cuba berjuang dalam setiap perlumbaan,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman kerjasama antara AEON Credit Service dan MSI Racing Team di sini, hari ini.
Mengulas mengenai perlumbaan di Buriram, pelumba muda itu mengakui saingan di kelompok hadapan berlangsung cukup sengit dan dia masih perlu memperkemaskan beberapa aspek terutama dari segi tunggangan serta tetapan jentera.
“Perlumbaan di GP Thailand memang agak sukar. Saya cuba mengejar kelompok hadapan tetapi mereka terlalu laju.
“Jadi saya masih perlu meningkatkan diri dari segi tunggangan dan juga ‘setup’ jentera,” katanya.
Selain itu, Hakim Danish turut mengakui komunikasi yang lebih baik dengan ketua kru amat penting bagi memastikan pelarasan jentera lebih sesuai dengan corak tunggangannya di litar.
Menurutnya, ketua mekaniknya dari Sepanyol, Jonathan Morales, sudah bekerjasama dengannya sejak dia beraksi dalam FIM JuniorGP World Championship, sekali gus memudahkan proses penyesuaian di peringkat lebih tinggi.
“Setakat ini tiada masalah besar. Cuma saya mahu mempertingkatkan lagi komunikasi saya, terutama bahasa Inggeris supaya lebih mudah berbincang mengenai pelarasan jentera,” katanya.

