WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata AS dan Israel berada dalam kedudukan kukuh dalam peperangan menentang Iran, sambil berikrar untuk terus mara menentang republik Islam itu.
Trump berkata, individu yang berpotensi menggantikan pemimpin tertinggi Iran yang terbunuh, Ayatollah Ali Khamenei, ‘akan berakhir dengan kematian’.
Trump turut mendakwa keupayaan ketenteraan Tehran sedang dimusnahkan dengan pantas.
“Kita menunjukkan prestasi baik di medan perang, jika hendak dipermudahkan, jika seseorang bertanya pada skala 10, bagaimana penilaian saya? Saya katakan sekitar 15,” kata Trump kepada sekumpulan ketua syarikat teknologi di Rumah Putih.
“Kita kini berada dalam kedudukan yang sangat kukuh, dan kepimpinan mereka semakin lenyap dengan pantas. Sesiapa yang dilihat mahu menjadi pemimpin, akhirnya mati,” katanya.
Berucap pada hari kelima konflik, Trump mengulangi justifikasinya untuk menyerang Iran dengan mendakwa Tehran sedang menuju ke arah memiliki senjata nuklear.
“Apabila individu tidak waras memiliki senjata nuklear, perkara buruk akan berlaku,” tambahnya. – AFP

