Penduduk lega beruang masuk perangkap

GUA MUSANG: Seekor beruang matahari yang dipercayai berkeliaran di kawasan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Limau Kasturi 2, di sini sejak setahun lalu, akhirnya berjaya ditangkap dan dipindahkan hari ini, sekali gus melegakan lebih 100 keluarga di kawasan terbabit kerana tidak lagi diancam haiwan liar itu.

Penduduk, Mohd Rozaidi Hassan, 34, berkata perangkap beruang dipasang sejak tiga hari lalu bersebelahan rumahnya dan mereka lega apabila hidupan liar itu yang kerap berkeliaran dan membuat sarang berhampiran rumahnya, akhirnya berjaya ditangkap.

“Kira-kira jam 2.30 pagi tadi, saya terdengar bunyi bising daripada perangkap terbabit dan syak beruang sudah masuk perangkap. Awal pagi saya memaklumkan kepada penduduk kampung dan seterusnya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebelum pemindahan dilakukan.

“Alhamdulillah, kami penduduk di sini sangat lega dengan penangkapan haiwan liar ini yang kerap berkeliaran di kawasan kampung di sini sejak setahun lalu,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi penduduk, Khairol Husin, 39, berkata beruang terbabit sebelum ini kerap berkeliaran di kawasan kampung untuk mencari makan dan merosakkan sarang madu kelulut diusahakan penduduk yang juga sering terserempak haiwan liar terbabit.

“Penduduk takut dan bimbang keselamatan mereka. Sudah ramai penduduk kerugian apabila sarang kelulut yang diusahakan dirosakkan beruang matahari ini. Walaupun tidak pernah menyerang penduduk, kami tetap bimbang dengan keselamatan diri dan anak-anak sekiranya terserempak beruang ini.

“Ia sering berkeliaran di kawasan rumah penduduk. Jadi, terima kasih kepada pihak PERHILITAN yang bertungkus lumus berusaha menangkap beruang ini kerana sudah beberapa kali perangkap yang berat ini dialihkan ke lokasi berbeza bagi menangkap haiwan liar ini,” katanya.