Impian ke Piala Asia 2027 terkubur?

KUALA LUMPUR: Selepas kira-kira seminggu menunggu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akhirnya mengeluarkan keputusan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berhubung kes pemalsuan dokumen, semalam.

Pengumuman itu sekali lagi menggoncang arena bola sepak negara apabila CAS menolak rayuan berkenaan yang menyaksikan hukuman dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap FAM dan pemain terbabit sebelum ini kekal.

Apa yang pasti keputusan itu tidak akan menutup fail kes berkenaan, malah seperti laporan BH Sukan sebelum ini bahawa ‘bala besar’ dijangka akan menimpa bola sepak negara sekiranya rayuan di CAS tidak memihak kepada FAM.

Ia kerana Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kini akan merujuk kes berkenaan kepada Jawatankuasa Disiplin dan Etika badan induk itu bagi mengambil tindakan lanjut susulan keputusan CAS.

“AFC mengambil maklum mengenai keputusan dibuat oleh CAS pada 5 Mac 2026 (semalam) berhubung FAM dan beberapa pemain berkaitan pelanggaran Kod Disiplin FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

“Perkara ini kini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC,” kata badan bola sepak Asia itu dalam kenyataan.

Melihat kepada rekod hukuman dikenakan FIFA terhadap FAM berkaitan kes itu, ada kemungkinan besar dua kemenangan Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 iaitu berdepan Nepal dan Vietnam akan dibatalkan.

Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada Disember lalu membatalkan keputusan aksi persahabatan Malaysia menentang menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin, malah skuad negara diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 bagi ketiga-tiga perlawanan itu kerana Harimau Malaya didapati menggunakan pemain tidak layak.

Justeru, AFC dijangka menggunakan hukuman sama terhadap FAM membabitkan aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang mana Harimau Malaya menggunakan pemain warisan terbabit ketika menang ke atas Nepal (2-0) dan Vietnam (4-0).

Seandainya AFC memberikan kemenangan 3-0 juga diberikan kepada Nepal dan Vietnam, ia sekali gus boleh menyebabkan impian skuad negara untuk ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi terkubur.

Malah, aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Vietnam di Stadium Thien Truong pada 31 Mac ini juga hanya akan menjadi perlawanan pelengkap jadual buat skuad kendalian Peter Cklamovski.

Melihat kepada rekod sebelum ini juga, AFC pernah menggantung Timor Leste daripada menyertai Piala Asia 2023 selepas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL), Amandio de Araujo didapati memalsukan dokumen bagi kewarganegaraan pemain Timor Leste.

Apa pun, keputusan atau hukuman rasmi terhadap FAM masih belum diputuskan oleh AFC dengan ia menjadi satu lagi detik penantian yang mendebarkan perlu dilalui seluruh peminat bola sepak tanah air.