JOHOR BAHRU- Sebuah bas ekspres membawa 10 penumpang terbabas sebelum terbalik di tepi jalan di Kampung Sepakat Baru, Batu 11 susur keluar Plaza Tol Skudai di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I (PBKI) Kamarulzaman Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 8.20 malam.
Susulan itu katanya, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender FRT, satu jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS dikejarkan ke tempat kejadian.
“Pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 8.29 malam dan mendapati bas ekspres berkenaan terbabas sebelum terbalik di tepi jalan.
“Seramai 10 mangsa terbabit dalam kemalangan itu. Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan dua penumpang yang tersepit menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba di lokasi.
Katanya, pemandu bas bersama-sama dua lagi mangsa mengalami kecederaan namun tidak tersepit, manakala empat penumpang lain hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS, ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) dan St John Ambulans sebelum dihantar untuk rawatan lanjut.
Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.14 malam selepas keadaan disahkan selamat.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Jelasnya, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru.- MalaysiaGazette

