Saya tak maafkan pelaku, mahu tuntut keadilan – Mohd Syafaeez

SEBERANG JAYA – Bapa kepada bayi lelaki berusia empat bulan yang meninggal dunia selepas dipercayai didera di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya di sini hari ini tidak akan memaafkan pelaku dan bertekad menuntut keadilan agar kejadian sama tidak menimpa bayi lain.

Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di taska berkenaan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Bapanya, Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, berkata, sebagai seorang bapa dia tidak akan memaafkan individu yang didakwa bertanggungjawab atas kematian anaknya itu.

“Saya tidak akan maafkan pelaku dengan apa yang dia buat kerana perbuatan itu bukan sifat manusia. Sebagai bapa, saya akan ambil tindakan dan tuntut keadilan supaya bayi lain tidak menerima nasib sama seperti anak saya,” katanya yang bergegas dari Terengganu ke HSJ sejurus mendapat panggilan berhubung kejadian daripada isterinya.

Menurutnya, kali terakhir dia melihat keadaan anaknya adalah melalui panggilan video pada malam semalam dan bayi itu berada dalam keadaan ceria.

“Kali terakhir saya membuat panggilan video kira-kira 9 malam semalam. Masa itu saya tengok keadaan anak saya ceria. Cuma dia ada tenung mata saya lama dan saya nampak riak wajahnya sedikit perubahan namun tidak sangka kejadian sebegini menimpanya,” katanya.

Mohd Syafaeez turut mendakwa dia dimaklumkan pekerja di taska berkenaan sering bertukar namun tidak pasti sama ada mereka benar-benar terlatih untuk mengendalikan bayi.

“Saya dimaklumkan pekerja di taska itu sering bertukar. Cuma saya tidak pasti sama ada pengusaha mengambil pekerja bertauliah atau sebaliknya.

“Kita tahu penjagaan bayi ini rumit, jadi perlu ambil pekerja yang benar-benar layak,” katanya.

Tambah peniaga itu, jenazah bayinya itu dijangka dikebumikan kira-kira jam 9 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut, Marang, Terengganu. – MalaysiaGazette