,

Lelaki maut ditikam bertubi-tubi rakan gara-gara telefon bimbit

MELAKA – Seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas dipercayai ditikam bertubi-tubi menggunakan parang oleh rakannya dalam pergaduhan berpunca daripada telefon bimbit di hadapan rumah mangsa di Jalan Mohd Akhir, Kampung Sungai Udang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, suspek lelaki berusia 44 dipercayai datang ke rumah mangsa untuk mengambil semula telefon bimbit miliknya diserahkan kepada mangsa sebelum ini.

Kedua-dua mangsa dan suspek merupakan warga tempatan berbangsa Melayu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, bagaimanapun pertemuan tersebut bertukar menjadi pergaduhan sebelum mangsa diserang menggunakan sebilah parang di anjung rumah.

“Dalam keadaan panik itu, abang mangsa yang berada di lokasi cuba mengejar suspek namun lelaki itu melarikan diri sejauh kira-kira 300 meter sebelum bertindak memecahkan cermin sebuah kereta milik orang awam untuk bersembunyi.

“Siasatan awal mendapati terdapat sekurang-kurangnya tiga tikaman di bahagian dada kiri dan kita telah merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan juga mendapati kedua-dua lelaki berkenaan saling mengenali dan masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette