BEIRUT: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) semalam menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung peningkatan konflik berbahaya di sepanjang Garisan Biru, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Menurut UNIFIL dalam satu kenyataan, pasukannya memantau tujuh serangan udara Israel ke atas Lubnan serta lebih 120 insiden bedilan artileri, manakala lebih 120 projektil ditembak dari wilayah Lubnan.
UNIFIL sekali gus menyifatkan semua tindakan berkenaan sebagai pelanggaran serius terhadap Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut kenyataan itu lagi, pasukan pengaman kini berada di lapangan untuk memantau perkembangan, melaporkan insiden, menyelaras antara pihak terbabit, menyediakan sokongan kemanusiaan, dan melindungi orang awam setakat yang termampu.
UNIFIL turut menggesa semua pihak agar menamatkan permusuhan, selain menegaskan semula keperluan untuk Resolusi 1701 dipatuhi sepenuhnya demi memastikan keselamatan dan perlindungan orang awam di kedua-dua belah pihak di Garisan Biru.

