Ketegangan semakin memuncak di seluruh Asia Barat

KUALA LUMPUR: Ketegangan yang semakin memuncak di seluruh Asia Barat, semalam, mencetuskan serangan balas ketenteraan, ketegangan diplomatik dan kebimbangan kemanusiaan ketika sistem pertahanan udara memintas dron, manakala kerajaan-kerajaan asing mempercepatkan usaha pemindahan keluar rakyat mereka.

Arab Saudi memaklumkan sistem pertahanan udaranya memintas 29 dron sejak malam Sabtu, termasuk empat di wilayah Riyadh, ketika serangan yang dikaitkan dengan konflik berterusan itu kian sengit, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kementerian Pertahanan Arab Saudi menyatakan 25 dron yang memasuki ruang udara negara itu semalam telah dimusnahkan, namun tidak mendedahkan asal-usul dron terbabit atau sama ada serangan itu menyebabkan sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa.

Dalam perkembangan sama, pertahanan udara Kuwait turut menembak jatuh lima pesawat tanpa pemandu (UAV) pada awal pagi semalam di kawasan bawah bidang kuasanya, menurut Agensi Berita Bahrain (BNA).

Redakan ketegangan

Sementara itu, Agensi Berita Qatar (QNA) melaporkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) menggesa semua pihak meredakan ketegangan serta menghentikan persengketaan di selatan Lubnan.

Jurucakap UNIFIL, Dany Ghafary, berkata kira-kira 7,500 anggota pengaman dari 48 negara kini bertugas di selatan Sungai Litani bawah Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, sambil memantau serangan balas merentasi Garisan Biru sejak 2 Mac lalu.

Beliau berkata, peningkatan serangan Israel baru-baru ini telah menyebabkan lebih 800 kematian dan lebih 1,900 kecederaan di Lubnan, manakala lebih 800,000 orang hilang tempat tinggal dengan kira-kira 120,000 masih berada di pusat perlindungan.

Ghafary turut mengutuk serangan ke atas pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain memaklumkan bahawa mereka akan meneruskan mandat yang diberikan hingga 31 Disember depan.

Kementerian Kesihatan Lubnan pula memaklumkan bahawa 14 orang, termasuk empat kanak-kanak terkorban, manakala lapan lagi cedera dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan, semalam, lapor Anadolu Ajansi.

Kanak-kanak maut

Serangan Israel menyasarkan kawasan kejiranan Rahibat di Nebatieh, selain kawasan Haret Saida di Sidon dan kawasan bandar Jezzine.

Tujuh maut termasuk empat kanak-kanak di Nebatieh, sementara baki korban direkodkan di Haret Saida dan Katrani.

Menurut kementerian itu, jumlah kematian akibat serangan Israel di Lubnan sejak 2 Mac lalu telah mencecah 826 orang, termasuk 106 kanak-kanak dan 65 wanita.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, ketika mengakhiri lawatannya di Beirut, memberi amaran bahawa selatan Lubnan berisiko menjadi ‘tanah gersang’ jika serangan Israel berterusan.

Beliau melancarkan rayuan kemanusiaan segera bernilai AS$308 juta bagi membantu mangsa yang terjejas, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Selat Hormuz

Dalam perkembangan berasingan, Rumah Putih mendakwa operasi ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran membuahkan ‘hasil besar’ dengan mendakwa keupayaan peluru berpandu, tentera laut dan dron Tehran telah terjejas teruk, lapor Anadolu Ajansi.

Kenyataan itu menyebut kempen yang dikenali sebagai Operasi ‘Epic Fury’ telah menyasarkan lebih 6,000 sasaran di seluruh Iran sejak 28 Februari lalu.

Menurut Rumah Putih, serangan dron Iran menurun kira-kira 95 peratus, manakala lebih 90 kapal tentera laut Iran dimusnahkan dan keupayaan peluru berpandu balistik telah dimusnahkan fungsinya.

Iran telah membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta beberapa negara yang menempatkan aset ketenteraan AS.

Di tengah-tengah ketegangan itu, Presiden AS Donald Trump, dalam hantaran melalui Truth Social menggesa negara-negara yang bergantung pada penghantaran minyak melalui Selat Hormuz, untuk turut menyumbang dalam menjamin keselamatan laluan maritim penting itu, sambil memaklumkan bahawa Washington akan membantu negara sekutu dalam melindungi laluan itu.

Iran telah menutup Selat Hormuz sejak 1 Mac lalu susulan serangan AS-Israel yang mengorbankan lebih 1,200 orang termasuk Pemimpin Agung Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei, dan gangguan itu telah menjejaskan eksport minyak global dan meningkatkan ketidakstabilan pasaran tenaga.

Pendirian neutral

Bagaimanapun, Perancis tidak akan menghantar kapal pengangkut pesawat Charles de Gaulle ke Selat Hormuz dan akan kekal di timur Mediterranean biarpun Washington menggesa bantuan tentera laut antarabangsa, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Switzerland pula mengekalkan pendirian neutralnya dengan menolak dua permintaan lintas terbang pesawat tentera AS yang berkaitan konflik itu, lapor Anadolu Ajansi.

Bagaimanapun, tiga penerbangan lain dibenarkan termasuk misi penyelenggaraan dan dua operasi pesawat pengangkut.

Kerajaan berkata, penerbangan kemanusiaan, perubatan atau rutin yang tidak berkaitan dengan konflik itu, akan dibenarkan.

Sementara itu, kerajaan-kerajaan terus berusaha membawa pulang rakyat mereka dari kawasan terjejas di Asia Barat.

Antaranya, Filipina membawa pulang 342 rakyatnya dari Arab Saudi dan Bahrain, semalam, menerusi penerbangan carter oleh Philippine Airlines, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Krisis yang berterusan itu turut memberi kesan kepada sukan permotoran dengan Formula 1 mengumumkan pembatalan Grand Prix Bahrain dan Arab Saudi, yang dijadualkan pada April depan, kerana isu keselamatan yang terkait dengan konflik itu, lapor Anadolu Ajansi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Formula Satu, Stefano Domenicali, berkata keputusan itu diambil selepas mendapatkan nasihat Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan promoter acara, sambil memaklumkan perlumbaan akan disambung semula apabila keadaan mengizinkan.

Sementara itu, MotoGP mengumumkan Grand Prix (GP) Qatar yang pada asalnya dijadualkan pada April depan telah ditangguh ke 8 November berikutan konflik yang masih berterusan.

Kesannya, GP Portugal di Portimão akan berlangsung pada 22 November depan dan penutup musim di Valencia akan dianjakkan ke 29 November, sementara pusingan lain Kejohanan MotoGP Dunia 2026 kekal tidak berubah.