KUALA LUMPUR – Inidvidu yang ditembak dalam insiden rompakan kedai emas di Petaling Jaya pagi tadi dipercayai gagal melarikan diri selepas berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan pertama berhubung kejadian itu sekitar 10.59 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati seorang lelaki tempatan cuba merompak barangan kemas dengan bersenjatakan pisau di premis tersebut.
“Dalam kejadian itu, suspek dipercayai gagal melarikan diri selepas berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan bertugas.
“Suspek kemudian mengalami kecederaan akibat tembakan yang dilepaskan oleh pengawal keselamatan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Shamsudin, pengawal keselamatan itu juga mengalami kecederaan akibat pergelutan dan kedua-duanya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun pukul 11.53 pagi tadi suspek disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital dan bedah siasat mayat akan dijalankan di PPUM esok bagi mengenal pasti punca kematian,” jelasnya.
Shamsudin berkata, susulan itu satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Jelasnya lagi, siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan siasatan kes ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Zairi Zakaria di talian 013-8391124. – MalaysiaGazette

