SYDNEY: Australia akan memotong separuh cukai bahan api selama tiga bulan bagi meringankan beban pengguna yang terkesan dengan kenaikan harga petrol susulan perang di Asia Barat.
Perdana Menteri Anthony Albanese, berkata langkah itu diumumkan selepas pertemuan dengan pemimpin negeri dan wilayah Australia yang bersetuju dengan pelan menangani kekurangan bekalan bahan api.
Beliau berkata Australia mengenakan cukai jualan sebanyak 52 sen bagi setiap liter petrol, yang akan dikurangkan separuh dalam tempoh berkenaan.
“Kerajaan menjangkakan kos tindakan ini sebanyak AS$1.75 bilion (RM7.04 bilion). Kami menurunkan harga bahan api hari ini kerana memahami tekanan besar yang dihadapi rakyat Australia,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan juga memberi jaminan penghantaran bahan api ke Australia masih berjalan lancar dan kekurangan petrol di kawasan luar bandar berpunca daripada pembelian panik serta masalah pengedaran.
Victoria dan Tasmania menyediakan pengangkutan awam percuma, namun pada masa sama, Albanese menggesa rakyat supaya mengurangkan pemanduan untuk menjimatkan petrol.
“Lebih sedikit bahan api digunakan di bandar, lebih banyak boleh dialihkan ke kawasan luar bandar yang sedang menghadapi tekanan,” katanya kepada pemberita di Canberra.
Di New South Wales, Ketua Menteri Chris Minns, berkata terdapat banyak stesen petrol yang kehabisan bekalan dan memberi tumpuan membantu kawasan luar bandar.
“Jika keadaan semakin buruk, kami akan ambil langkah tambahan,” katanya.
Parlimen negara turut memperkenalkan rang undang-undang bagi memberi kuasa kepada kerajaan menjamin pembelian kapal tangki bahan api bagi menambah bekalan.
Data mingguan menunjukkan bekalan petrol di Australia mencukupi untuk 39 hari, meningkat sedikit daripada minggu sebelumnya, manakala bekalan diesel pula untuk 30 hari.
Kerajaan juga akan mengurangkan kos lori dengan memotong caj penggunaan jalan bagi kenderaan berat.
Menurut pemantau Fuel Check, harga petrol purata di New South Wales meningkat daripada AU$1.82 (RM5.02) pada Februari kepada AU$2.48 (RM6.85) semalam, manakala harga diesel mencecah AU$3 (RM8.28). – AFP

