KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang menyebarkan berita palsu mengenai kenaikan harga minyak dan elektrik di media sosial.
Sambil menyifatkannya sebagai langkah khianat kepada negara dan rakyat, Perdana Menteri berkata, tindakan itu juga memperjudikan nasib rakyat semata-mata untuk meraih keuntungan politik murahan dan kelangsungan politik sempit.
Sehubungan itu, ujarnya, kerajaan tidak ada pilihan melainkan memohon pihak berkuasa sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan.
Setakat ini, tambah beliau, MCMC sudah mengesan sebanyak 96 kandungan berita palsu mengenai harga minyak dan elektrik yang disebarkan menerusi media sosial.
“Kita bekerja dalam keadaan yang luar biasa dengan cabaran yang meningkat, tetapi ini tidak mungkin memadamkan karenah orang-orang yang terus berdusta, membenci, sabotaj dan khianat.
“Berapa banyak berita-berita palsu tentang kenaikan harga minyak, tentang kenaikan harga barang kerana dasar-dasar yang tidak benar?” katanya menerusi taklimat khas hari ini.
Sehubungan itu, Anwar menyeru rakyat memilih menyaring berita dan mencari fakta yang betul.
Dalam masa sama, beliau turut mengajak rakyat bersama-sama cuba memantau keadaan, menyemak dengan rapi dan mengambil langkah untuk menyelamatkan keluarga, masyarakat dan negara.
“Dan saya mendoakan terhadrat Allah SWT, mudah-mudahan usaha kita diberkati dan negara kita sentiasa mendapat perlindungan Allah SWT,” katanya. – MalaysiaGazette

