“Kita perlu lebih banyak pembabitan wanita, anak muda dalam pembangunan negara” – AIPA

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Antara Parlimen (AIPA) sepakat mahu lebih ramai wanita dan anak muda dibabitkan dalam menyumbang kepada pembangunan negara termasuk melalui cabang politik.

Presiden AIPA, Tan Sri Johari Abdul, berkata suara itu dibangkitkan majoriti pemimpin ASEAN termasuk Filipina, Vietnam dan Timor-Leste yang mahu penekanan diberikan dalam mengangkat pembabitan golongan berkenaan.

“Mesej yang sangat kuat kita (AIPA) dan hampir semua pemimpin (ASEAN) mahu sampaikan ialah kita memerlukan lebih banyak pembabitan wanita dan anak muda dalam pembangunan negara.

“Kalau di Malaysia, kita lihat pembabitan wanita dalam bidang tertentu sangat memberangsangkan antaranya dalam perkhidmatan awam dan pendidikan yang sudah melangkaui 50 peratus. Begitu juga di kampus yang mana wanita jauh lebih hebat daripada lelaki.

“Namun begitu dalam bidang lain termasuk politik, kita masih terkebelakang kalau dibandingkan dengan beberapa negara lain yang mana ini kita mahu ia ditekankan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke-14 (ASEAN-AIPA Interface), di sini.

ASEAN-AIPA Interface dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, bakal menjadi platform khas untuk dialog antara ketua negara dan kerajaan ASEAN serta Speaker, Timbalan Speaker serta wakil Ahli Parlimen AIPA.

Pada masa sama, Johari yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat, berkata dalam aspek anak muda pula, penting untuk harapan mereka dalam semua bidang iaitu politik, ekonomi, sosial dan pendidikan diambil kira.

Dalam perkembangan berkaitan, Johari berkata, AIPA juga mahu sokongan perundangan dipertingkatkan bagi mempercepatkan integrasi digital, menggalakkan pembangunan infrastruktur teknologi lestari, serta memajukan kewangan dan pelaburan hijau.

“AIPA mengalu-alukan inisiatif yang sedang berlangsung seperti Kerangka Integrasi Digital ASEAN dan menyokong keselamatan bukan tradisional, termasuk perubahan iklim, keterjaminan makanan serta daya tahan tenaga.

“AIPA turut menegaskan sokongan teguhnya terhadap keamanan, undang-undang antarabangsa dan kestabilan serantau. AIPA menggesa supaya dialog dan diplomasi diteruskan dalam menangani perkembangan geopolitik, termasuk di Myanmar, Laut China Selatan, Gaza, dan Ukraine,” katanya.

Beliau berkata, AIPA juga mahu kerajaan dan badan perundangan bergerak seiring dalam membina ASEAN yang aman, inklusif dan berdaya tahan.

Ditanya mengenai masa depan pilihan raya di Myanmar, Johari berpendapat akan ada perkembangan positif ke arah itu dalam tempoh setahun ini.

“Dengan ASEAN menemui setiap kumpulan untuk mengemudi isu itu, berkemungkinan besar kita sudah ada perkembangan dengan kita menyelesaikan isu terbabit melalui cara ASEAN.

“Kita yakin ada dapat melihat cahaya di hujung terowong, berkemungkinan tahun hadapan,” katanya.

Mengenai pendirian AIPA terhadap Palestin, Johari berkata, pihaknya mendesak tindakan kuat termasuk gencatan senjata dan menghentikan genosid, selain tidak pernah membelakangkan negara itu.

“Ada tuntutan untuk mengakhiri genosid, ia sangat jelas… kita mahu selesaikan masalah di Myanmar dan Ukraine, namun kita tidak akan ‘meninggalkan’ Gaza.

“Kita harap akan adanya lebih banyak perbincangan, sebanyak mungkin kita mahu selesaikan masalah di Myanmar, begitu juga kita akan tekankan dalam isu Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan wakil media antarabangsa yang mempersoalkan tiada dasar Konsensus Lima Perkara (5PC) untuk Palestin seperti ditetapkan buat Myanmar.