Kes rasuah Ketua Pengarah JAS, timbalannya tak jejas operasi pentadbiran jabatan – Menteri

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin sudah diarah untuk memastikan semua fungsi dan operasi harian Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak terjejas susulan dakwaan skandal oleh ketua pengarah dan timbalan ketua pengarahnya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata kes mahkamah terhadap Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan dan Operasi), Norhazni Mat Sari diakui memberi kesan dari sudut emosi dan psikologi warga jabatan itu.

Namun, katanya, ia tidak menjejaskan pentadbiran serta kelangsungan operasi jabatan.

“Sebagai langkah segera, saya juga mengarahkan ketua setiausaha kementerian untuk memastikan semua fungsi dan operasi harian JAS terus berjalan seperti biasa.

“Ia adalah bagi menjamin perkhidmatan kepada rakyat, penguatkuasaan undang-undang alam sekitar serta pemantauan alam sekitar negara tidak terjejas,” katanya kepada BH.

Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Wan Abdul Latiff dan Norhazni bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan isu pengurusan sisa elektronik (e-waste).

Wan Abdul Latiff kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jumaat lalu, atas dakwaan menerima suapan, RM100,000 bagi mempertimbangkan rayuan pengecualian berhubung penyediaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), tahun lalu.

Sementara Norhazni pula dihadapan dengan enam pertuduhan menerima RM21,000 daripada sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual, empat tahun lalu.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mengulas lanjut, Arthur berkata, kementerian juga yakin kes berkenaan tidak akan menjejaskan kecekapan, kelancaran operasi dan peranan JAS dalam melindungi alam sekitar serta kepentingan rakyat dan negara.

Beliau juga yakin warga JAS akan terus cekal dan komited meneruskan amanah serta perjuangan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Katanya, aspek ketelusan dalam penguatkuasaan dan kelulusan berkaitan alam sekitar kini menjadi fokus kepimpinannnya sejak diberi tanggungjawab memimpin NRES sejak Disember lalu.

Arthur juga mahu mengukuhkan sistem pemantauan, data dan pelaporan berasaskan digital serta menunjukkan kepimpinan turun padang, mendengar serta bertindak.

“Dalam aspek dasar dan undang-undang, NRES juga komited terhadap tiga perkara iaitu memuktamadkan dan memacu Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara.

“Selain itu kita juga mahu menginstitusikan Dasar Karbon Kebangsaan termasuk pasaran karbon domestik dan meluaskan Pindahan Dana Elektronik (EFT) sebagai insentif tetap kepada negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.