KUALA LUMPUR: Seramai 12 lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes khianat dan rusuhan di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, Cheras, Ahad lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata permohonan reman terhadap semua suspek sudah dibuat bagi membantu siasatan lanjut.
“Polis menahan 12 lelaki dan permohonan reman sudah dipohon bagi membantu siasatan.
“Beberapa kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Fadil sebelum ini dalam kenyataan mengesahkan pihaknya menerima satu laporan kira-kira jam 7.30 malam Ahad lalu berkait insiden kekecohan membabitkan sekumpulan lelaki di pusat hiburan berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata kejadian berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari, hari sama, yang mana sekumpulan individu bertindak merempuh pintu pagar premis menggunakan sebuah lori sebelum menceroboh masuk dan melakukan khianat dengan memecahkan barangan di dalam premis terbabit.
Sebelum itu, tular satu rakaman video selama kira-kira 60 saat memaparkan sebuah lori mengundur sebelum merempuh pagar premis, diikuti sekumpulan kira-kira 50 lelaki bertopeng yang memegang objek tidak dikenal pasti memasuki bahagian dalam premis melalui pintu pagar yang dirosakkan.
Beberapa peralatan di dalam premis itu dilaporkan rosak susulan kejadian berkenaan.

