Fatwa akan dikeluarkan terhadap ajaran ‘Ratu Nur Putri Ratu Balqis’

JOHOR BAHRU – Jabatan Mufti Johor akan mengeluarkan fatwa berkenaan ajaran ibu tunggal, Nurul Huda Mohd Bajuri, 49, yang menggelarkan diri sebagai Ratu Nur Putri Ratu Balqis serta memuat naik hantaran jelek dan didakwa sesat dalam akaun TikTok.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ketika ini sedang melakukan siasatan dan penyelidikan terhadap fahaman wanita tersebut.

“Penyelidikan ini untuk memutuskan sama ada (ajaran wanita tersebut) terdapat unsur ajaran sesat atau tidak sebelum fatwa dikeluarkan. Pernyataan itu nampak macam ada menyimpang dan sesat.

“Laporan penyelidikan itu nanti akan dihantar kepada Jabatan Mufti Johor untuk urusan selanjutnya, jadi ini akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pembanteras Ajaran Sesat Negeri Johor berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau masalah tiga lif rosak di Bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor di sini, hari ini.

Katanya, selepas semua proses itu selesai perkara tersebut akan dibawa kepada ketua agama Islam di negeri ini dan apabila sudah diputuskan ajaran itu sesat, tindakan pendakwaan akan dilakukan.Tambahnya, JAINJ kini bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memantau perkembangan kes terbabit.

Jelasnya, ketika ini suspek berada dalam perhatian pihak polis dan semua video berkaitan yang dimuat naik di dalam media sosial sudah pun diturunkan.

Mohd Fared berkata, fahaman suspek yang disebarkan di dalam media sosial menggunakan akaun Ratu Nur Putri Ratu Balqis itu bagaimanapun masih terkawal.

Setakat ini, katanya, pengikut ajaran wanita terbabit hanya terdiri daripada anak dan abang kandungnya.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati fahaman wanita tersebut sudah muncul sejak 2018, namun tiada kes direkodkan ketika itu sehingga beberapa video baharu tersebut tular di dalam media sosial pada 26 Mac lalu.

“Tapi bila dia berulang pada kali ini (muat naik hantaran terbaharu) nampaknya lebih ligat (kali ini) termasuk mendakwa dirinya adalah roh kudus dan putera Mohamad anak Aminah, itu dah jauh menyongsang.

“Bagi ajaran baharu kita perlukan penyelidikan sebab bila ada ajaran baharu muncul (perlu penyelidikan). Bahagian penyelidikan sedang menyediakan laporan akhir, kalau menyimpang dekat mana,” katanya.

Terdahulu portal ini melaporkan tiga individu termasuk remaja berumur 17 tahun ditahan di Taman Saujana di sini bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan melalui aplikasi TikTok yang mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan terhadap agama Islam, institusi diraja Johor, Ketua Polis Johor dan Perdana Menteri.

Mohd Fared dilaporkan berkata, pengakuan wanita tersebut dan beberapa dakwaan lain dibuat menerusi beberapa klip video yang tular sejak Jumaat lalu.

Beliau menberitahu, video-video klip yang tersebar itu didapati mengandungi ajaran menyimpang dan mengelirukan.

“Individu yang menggelarkan dirinya sebagai Ratu Nur Putri Ratu Balqis turut mendakwa dirinya sebagai ‘Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah’,” ujar Mohd Fared.

Sebelum ini, seorang wanita mendakwa dirinya dipinjamkan badan oleh malaikat dan mempunyai pertalian dengan Nabi Muhammad SAW.

Akaun TikTok bernama @ratunurputriratubalqis memaparkan beberapa video menunjukkan wanita tersebut membuat beberapa kenyataan yang mengandungi unsur bertentangan dengan ajaran Islam.

Salah satu video berkenaan memaparkan wanita tersebut didakwa menjunjung al-Quran sambil mendakwa dirinya merupakan anak kepada Adam dan Hawa, yang kononnya telah dihidupkan kembali.

Terdapat video dalam akaun tersebut turut menunjukkan wanita berkenaan didakwa mengakui kononnya merupakan guru kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.- MalaysiaGazette