KUALA LUMPUR: Peluang untuk Selangor mempertahankan gelaran naib juara Liga Super kini menjadi persoalan selepas terikat 1-1 dengan Sabah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Meskipun masih kekal di kedudukan kedua selepas mengharungi 21 perlawanan, namun kegagalan Gergasi Merah menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri itu meletakkan mereka dalam situasi bahaya.
Ia kerana skuad kendalian Kim Pan Gon yang ketika ini mengumpul 43 mata hanya mendahului pasukan tangga ketiga, Kuala Lumpur City dengan satu mata dan tiga mata di depan Kuching City yang menghuni kedudukan keempat.
Pencabar utama Selangor adalah Kuching City yang beraksi kurang dua perlawanan dan skuad The Cats boleh merampas kedudukan kedua sekiranya berjaya menewaskan pasukan tercorot, PDRM di Stadium Negeri, Kuching, esok.
Aksi sebentar tadi berlangsung kurang rancak pada awal permainan dengan tidak banyak percubaan berbahaya berjaya dilakukan kedua-dua pasukan dan hanya selepas setengah jam barulah stadium bergema dengan sorakan penonton apabila Faisal Halim melepaskan rembatan menarik ke penjuru kiri pintu gol Sabah untuk meletakkan Selangor di depan.
Ketika Selangor tampak lebih bernafsu untuk menambah jaringan, namun keghairahan mereka terencat apabila dihukum dengan gol penyamaan Sabah yang diledak Fergus Tierney pada minit ke-34 hasil satu serangan balas pantas.
Selangor kembali mendahului hanya dua minit selepas bersambung babak kedua, malangnya jaringan Chrigor Moraes dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati dia berada dalam kedudukan ofsaid sebelum menghasilkan jaringan itu.
Gergasi Merah mendapat beberapa peluang selepas itu, namun semuanya gagal menjelmakan jaringan terutama percubaan Nooa Laine di dalam kotak penalti pada minit ke-77 yang tinggi melepasi palang.

