Prabowo ‘balas budi’ menerusi jawatan Kabinet

JAKARTA: Lebih 100 individu yang berpotensi dipilih sebagai pembantu Prabowo Subianto dalam pentadbiran selepas beliau mengambil alih jawatan presiden menimbulkan dakwaan bahawa sesetengah individu dipilih semata-mata kerana sokongan mereka dalam pilihan raya.

Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada Kabinet yang diperbesarkan itu akan mampu berfungsi sebagai kerajaan yang berwibawalagi berkesan.

Minggu lalu, presiden terpilih itu menyusun senarai menteri, timbalan menteri, dan ketua-ketua institusi negara yang berkemungkinan besar menjadi pembantunya dalam pemerintahan.

Prabowo memanggil mereka ke kediamannya di Jalan Kertanegara, Jakarta Selatan dari Isnin hingga Selasa, sebelum membawa mereka ke sesi orientasi di rumah keduanya di Hambalang, Bogor, Jawa Barat pada Rabu dan Khamis.

Seramai 109 individu dijemput termasuk mereka yang bersekutu dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi), termasuk hampir separuh menteri dalam pentadbiran yang bakal berakhir Ahad ini, berkemungkinan besar akan meneruskan jawatan mereka di bawah kepimpinan Prabowo.

Pemerhati politik percaya bahawa ini adalah ganjaran politik Prabowo kepada Jokowi atas sokongan dibuat secara senyap dalam pilihan raya, yang dimenangi oleh penyandang Menteri Pertahanan itu bersama anak sulung Jokowi, Gibran Rakabuming Raka.

Presiden Jokowi membantu membuka jalan kepada hasrat Prabowo untuk membentuk Kabinet besar yang berkemungkinan mempunyai sehingga 46 kementerian.

Pada Khamis, Jokowi menandatangani pindaan kepada Undang-Undang Kementerian 2008, yang diluluskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat pada September lalu, yang secara langsung menghapuskan had sebelumnya iaitu 34 kementerian dalam kerajaan.

Senarai Kabinet yang berpotensi juga membabitkan ahli politik dari parti-parti dalam gabungan besar Koalisi Indonesia Maju (KIM) yang menyokongnya dalam pilihan raya Februari lalu.

Calon menteri dan timbalan menteri boleh dikatakan sebagai sebahagian daripada skema ‘pembahagian kek’ Prabowo kepada mereka yang telah menyokongnya semasa pilihan raya presiden dan seterusnya dalam perundangan.

Parti-parti kecil yang menyokong Prabowo tetapi tidak memiliki kerusi di Dewan Rakyat juga mendapat ganjaran mereka, termasuk ahli politik Partai Solidaritas Indonesia (PSI) seperti Giring Ganesha, Isyana Bagoes Oka, dan Raja Juli Antoni, yang kini dilantik Timbalan Menteri Pertanian dan Perancangan Ruang.

Prabowo dilaporkan akan memuktamadkan Kabinetnya menjelang Isnin depan, sehari selepas pelantikannya sebagai presiden negara yang seterusnya pada 20 Oktober ini.