TYMBA-ISK pacu transformasi pendidikan bertaraf antarabangsa

KUANTAN: TYMBA Education Group (TYMBA) bersama International School of Kuantan (ISK) hari ini mengumumkan kerjasama strategik yang bakal mentransformasikan ISK sebagai institusi pendidikan bertaraf antarabangsa yang lebih dinamik, praktikal dan berdaya saing global.

Kerjasama itu diperkukuhkan dengan pelantikan Pengasas TYMBA, Airil Razali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bersama TYMBA-ISK yang akan menyelaras hala tuju strategik.

Pada masa sama, ia untuk memastikan pelaksanaan transformasi institusi berjalan secara tersusun, berimpak tinggi dan selari dengan keperluan pendidikan global yang semakin berkembang.

Airil berkata, komitmen ISK ialah untuk terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan berprestij yang bukan sahaja berteraskan legasi lebih 30 tahun, malah bersedia mendepani cabaran dunia yang semakin kompleks dan pantas berubah.

Katanya, melalui pengalaman luas TYMBA dalam membangunkan ekosistem pembangunan bakat bertaraf global, pendekatan yang menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kebolehpasaran graduan menjadi fokus utama.

“Pendekatan ini memberi fokus kepada keperluan pelajar untuk berdepan realiti dunia sebenar yang dicirikan oleh ketidaktentuan ekonomi global, perkembangan teknologi yang pesat serta perubahan keperluan industri masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Hari Terbuka dan Majlis Hari Raya Aidilfitri ISK di sini, hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Airil berkata, dalam usaha memperkukuhkan pembelajaran berorientasikan pengalaman sebenar, ISK juga menjalinkan kerjasama dengan institusi seperti Muzium Pahang dan ATMA Contemporary bagi menyediakan program yang lebih interaktif dan berimpak tinggi dalam bidang seni, sejarah serta pemikiran kreatif.

“Pendekatan itu memberi peluang kepada pelajar untuk mengalami pembelajaran yang lebih holistik dengan menggabungkan elemen kreativiti, pemikiran kritikal dan kefahaman budaya dalam konteks dunia sebenar.

“ISK melihat kerjasama ini sebagai hubungan strategik jangka panjang yang berpotensi besar dalam memperkukuhkan kedudukan institusi sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf antarabangsa.

“Gabungan legasi ISK bersama rangkaian global TYMBA diyakini mampu memperluaskan peluang pelajar ke peringkat antarabangsa, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuhkan kedudukan Pahang sebagai hab pendidikan berkualiti.

“Secara keseluruhannya, kerjasama ini bukan sekadar penambahbaikan kurikulum tetapi usaha menyeluruh untuk membina ekosistem pendidikan yang mampan, relevan dan mampu melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.