Iran tuntut pampasan, alami kerugian hampir AS$270 bilion akibat perang

TEHRAN: Iran menuntut diberikan pampasan atas kemusnahan yang berpunca daripada serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ketika ketegangan di rantau itu terus berlarutan dan usaha diplomatik untuk menamatkan konflik masih gagal mencapai penyelesaian.

Menurut laporan Al Jazeera, Jurucakap Kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani, berkata anggaran awal menunjukkan negara itu mengalami kerugian kira-kira AS$270 bilion (RM1.07 trilion) akibat kerosakan langsung dan tidak langsung sejak bermulanya perang pada 28 Februari lalu.

Bagaimanapun, beliau ketika diwawancara oleh agensi berita Russia, RIA Novosti tidak memberikan butiran lanjut mengenai kerosakan.

Namun, katanya, perkara itu sudah dibincangkan dalam rundingan baru-baru ini antara Iran dan AS di Pakistan dan akan dibangkitkan sekali lagi dalam sebarang perbincangan akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata, lima negara serantau juga perlu membayar pampasan berdasarkan dakwaan wilayah mereka digunakan untuk melancarkan serangan ke atas Iran.

Iran turut mencadangkan supaya pampasan kerosakan disalurkan melalui mekanisme Selat Hormuz, termasuk mengenakan cukai ke atas kapal yang melalui laluan strategik itu.

Katanya, kerajaan juga masih menilai tahap kerosakan besar terhadap infrastruktur kritikal negara itu selepas kemudahan minyak dan gas, syarikat petrokimia, loji keluli dan kilang aluminium berulang kali menjadi sasaran, selain kompleks ketenteraan.

Semua itu dijangka mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina semula sepenuhnya.

Jambatan, pelabuhan dan rangkaian kereta api, universiti dan pusat penyelidikan serta beberapa loji kuasa dan loji penyahgaraman air turut terkena serangan secara langsung, manakala banyak hospital, sekolah dan rumah awam rosak atau musnah.

Mohajerani berkata, kerajaan mengakui keadaan ekonomi semasa tidak membolehkan mereka membayar pampasan kepada rakyat yang kehilangan atau mengalami kerosakan rumah akibat serangan.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Syarikat Penerbangan Iran, Maghsoud Asadi Samani, berkata syarikat penerbangan juga mengalami kerugian besar semasa musim cuti Nowruz, dengan jumlah kerugian melebihi AS$190 juta (RM 749.66 juta) dalam tempoh 40 hari perang.

Beberapa lapangan terbang utama, termasuk di Tehran, Tabriz, Urmia dan Khorramabad, turut rosak akibat serangan pada landasan, menara kawalan dan hangar.

Walaupun mengalami kerosakan besar dan tekanan sekatan, Iran menegaskan tidak akan membuat banyak konsesi dalam rundingan dengan AS, termasuk isu pengayaan nuklear.

Jurucakap Parlimen Iran, Ebrahim Rezaei, berkata gencatan senjata dua minggu tidak wajar dilanjutkan kerana ia memberi ruang kepada AS dan Israel untuk memperkukuh kekuatan ketenteraan mereka.

“Mereka mesti mengiktiraf hak Iran, termasuk kawalan ke atas Selat Hormuz, atau kembali berperang,” katanya.