Harga diesel turun 75 sen, petrol turun 25 sen seliter

KUALA LUMPUR – Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia serta harga runcit petrol RON95 (tanpa subsidi) dan RON97 bagi minggu ini diturunkan susulan penurunan harga pasaran antarabangsa.

Kementerian Kewangan berkata, harga runcit diesel di semenanjung turun 75 sen kepada RM5.97 seliter bagi tempoh 16 April hingga 22 April 2026.

Manakala RON95 tanpa subsidi dan RON97 turun 25 sen seliter kepada masing-masing RM4.02 dan RM5.10 seliter.

“Dengan konflik di Asia Barat yang berlarutan, Kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api, di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan,” kata MOF dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu seperti BUDI95 kekal RM1.99 seliter, diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan (RM2.15 seliter); Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi atau SKPS (RM2.05 seliter) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi atau SKDS (RM2.15 seliter).

“Secara keseluruhan, Kerajaan dianggarkan akan menanggung sekitar RM7 bilion sebulan berdasarkan harga semasa.

“Subsidi RON95 meningkat daripada sekitar RM300 juta sebelum konflik kepada sekitar RM4 bilion sebulan, manakala subsidi diesel melonjak daripada sekitar RM400 juta kepada sekitar RM3 bilion sebulan,” kata MOF lagi.

Tambahnya, kerajaan MADANI akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil dan mencukupi, di samping terus memperkukuh perlindungan kepada rakyat. –MalaysiaGazette