LPNM perkenal mesin silaj hasilkan produk daripada sisa pokok nanas

JASIN: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) memperkenalkan mesin silaj nanas sebagai usaha untuk memacu nilai tambah dalam industri tanaman berkenaan.

Kewujudan mesin yang dibangunkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu adalah sebagai satu daripada usaha untuk memanfaatkan sisa pertanian yang terbuang kepada hasil pendapatan tambahan kepada pekebun.

Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yuhaizad Abdullah, berkata projek itu memberi fokus kepada penghasilan silaj nanas sebagai makanan alternatif ternakan seperti lembu, kambing dan kerbau.

Katanya, sejak 2024, pengeluaran silaj nanas mencecah 18.82 tan bersamaan 753 beg dengan anggaran nilai jualan RM7,530.

“Permintaan terhadap silaj nanas kini mencecah kira-kira tiga tan sebulan di daerah Jasin sahaja, sekali gus menunjukkan potensi besar projek ini dalam menjana pendapatan tambahan kepada pengusaha.

“Tujuan utama projek ini adalah untuk menggalakkan usahawan memanfaatkan sisa nanas sebagai sumber pendapatan tambahan melalui aktiviti pemprosesan silaj,” katanya pada Program Walkabout dan Kempen Promosi Nanas di Pusat Koreksional Jasin, di sini srmalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M Salleh; Pengarah Jabatan Penjara Melaka, Rosman Norman dan Pengarah Kanan Fakulti Teknologi Dan Kejuruteraan Mekanikal UTeM, Dr Mohd Khairil Ambia Chi Adam.

Yuhaizad berkata, anggaran sisa nanas bagi keluasan satu 0.4 hektar boleh mencecah sehingga 51 tan berdasarkan kira-kira 17,000 pokok dengan purata berat sisa tiga kilogram bagi setiap pokok.

Katanya, potensi ini membuka ruang luas kepada pengusaha untuk mengoptimumkan penggunaan sisa tanaman yang sebelum ini kurang dimanfaatkan.

“Projek berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan usahawan, malah menggalakkan penggunaan semula sisa nanas selari dengan usaha memperkukuh rantaian nilai industri serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairuzamri berkata, hasil daripada sisa bukan sahaja boleh dijadikan sebagai silaj makanan haiwan ternakan, malah mampu menghasilkan sebagai sisa kering untuk pembuatan bongkah cendawan dan palet ternakan haiwan serta serat sebagai kegunaan industri tekstil.

Katanya, untuk tujuan terbabit, LPNM menganjurkan Kursus Pengendalian Mesin dan Penghasilan Silaj Nanas yang membabitkan seramai 30 peserta terdiri daripada pengusaha tanaman nanas di Melaka, Orang Diselia (ODS) serta Pegawai Pusat Koreksional Jasin.

“Tujuan kursus ini dilaksanakan adalah untuk memberi pendedahan berkaitan keselamatan semasa pengendalian mesin kepada semua peserta, sekali gus memberi galakan untuk usahawan menggunakan sisa yang ada bagi menghasilkan silaj nanas berkualiti,” katanya.