SHAH ALAM: Perselisihan faham selepas ditegur merokok dipercayai menjadi punca pergaduhan di sebuah restoran di Bandar Rimbayu, dekat Telok Panglima Garang, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata laporan kejadian berkenaan dibuat seorang lelaki tempatan kira-kira jam 2 pagi, Rabu.
“Hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara dua pihak kerana salah seorang daripada mereka ditegur merokok di kawasan tersebut.
“Kejadian kemudian bertukar menjadi pergaduhan dan saling memukul antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya masih mengesan individu terbabit masih dilakukan.
Terdahulu, tular rakaman berdurasi 47 saat yang memaparkan pergaduhan antara dua lelaki di sebuah restoran.
Kedua-dua lelaki berkenaan kemudian cuba dileraikan oleh beberapa individu lain yang berada di restoran terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

