Jurutera hilang RM27,000 ditipu sindiket seks dalam talian

KUALA LUMPUR: Seorang jurutera lesap RM27,580 apabila ditipu sindiket penyedia khidmat seks dalam talian pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Polis Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ketika berada di rumahnya di Bangsar jam 8.22 pagi Jumaat lalu melayari aplikasi TikTok dan menekan satu pautan yang disambung ke nombor WhatsApp yang menawarkan pakej seks.

Menurutnya, mangsa yang berminat dengan pakej ditawarkan membuat 22 transaksi ke enam akaun berbeza.

“Selepas membuat semua bayaran, mangsa dikehendaki membuat bayaran tambahan namun berasa curiga.

“Setiap pembatalan tempahan mangsa akan dikenakan caj malah sekiranya dia enggan mengikut arahan, akan ditularkan di media sosial menyebabkan dia membuat 22 transaksi,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa kemudian membuat laporan polis Sabtu lalu selepas berasa curiga.

“Akibat kejadian itu mangsa kerugian RM27,580 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Orang ramai juga diminta berhati-hati kerana ada beberapa kes menggunakan modus operandi sama dan jangan sesekali berurusan dengan mana-mana pihak berkaitan khidmat seks,” katanya.

Katanya, mereka yang melanggan khidmat seks melanggar undang-undang mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan boleh menjadi mangsa penipuan jika ditipu.