KUALA LUMPUR: Kekuatan dalam acara beregu dilihat mampu menjadi senjata utama Malaysia untuk melangkah jauh dalam saingan Piala Thomas kali ini, sekali gus menghidupkan kembali impian menjulang trofi berprestij itu selepas lebih tiga dekad.
Sebagai juara lima kali edisi terdahulu (1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992), Malaysia kekal antara negara bersejarah dalam kejohanan itu, namun penantian sejak kejayaan terakhir pada 1992 masih berterusan hingga hari ini.
Beberapa kali hampir menamatkan kemarau, termasuk penampilan di final dan separuh akhir pada edisi terdahulu, membuktikan jurang antara Malaysia dan kuasa besar dunia cukup tipis.
Menurut pemain beregu utama negara, Soh Wooi Yik, kekuatan utama pasukan kali ini jelas terletak pada barisan beregu.
“Beregu kita memang kuat. Itu adalah kekuatan utama pasukan. kita perlu jalankan tugas sebaiknya,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia.
Gandingan utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka menjadi sandaran utama, selain sokongan padu daripada pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin.
Kedalaman skuad ini memberikan kelebihan besar buat Malaysia dalam format perlawanan yang memerlukan tiga mata untuk menang, sekali gus menjadikan beregu sebagai tulang belakang utama pasukan.
Wooi Yik turut mengimbas kejayaan meraih pingat gangsa pada edisi lalu sebagai bukti kekuatan beregu mampu menjadi penentu.
“Di Chengdu, kami menang gangsa kerana beregu beraksi dengan baik. Kami hanya tewas dua perlawanan sepanjang kejohanan,” katanya.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir.
Namun, pertemuan menentang Jepun dilihat sebagai penentu momentum pasukan, memandangkan lawan itu memiliki kekuatan seimbang dalam acara perseorangan dan beregu.
Bagi Malaysia, cabaran utama adalah memastikan sekurang-kurangnya satu mata daripada acara perseorangan, dengan kehadiran Lee Zii Jia bersama Justin Hoh dan Leong Jun Hao diharap mampu melengkapkan kekuatan pasukan.

