Pengarah Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO), Dr. Jarbas Barbosa (kanan) bersama Pengurus Eksekutif Program Khas Imunisasi Komprehensif, Dr. Daniel Salas (kiri), ketika sesi sidang media bagi memberi taklimat terkini mengenai status vaksinasi susulan penularan wabak demam campak di benua Amerika, di ibu pejabat PAHO. FOTO: AFP
WASHINGTON: Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) mendedahkan kes demam campak kini mencatatkan peningkatan membimbangkan di benua Amerika, terutamanya di Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada akibat kegagalan segelintir komuniti mendapatkan suntikan vaksin.
Pengarah PAHO, Jarbas Barbosa berkata, sebanyak 14,700 kes telah dilaporkan di 13 buah negara di rantau tersebut pada tahun lalu, iaitu peningkatan hampir 32 peratus berbanding tahun 2024.
Beliau memberi amaran bahawa trend jangkitan semakin memuncak pada tahun ini, dengan jumlah kes penyakit bawaan udara yang amat berjangkit itu dalam tempoh beberapa bulan pertama sahaja sudah melebihi keseluruhan kes yang dicatatkan sepanjang tahun lepas.
“Mexico, Guatemala, Amerika Syarikat dan Kanada menyumbang kepada majoriti kes, manakala transmisi turut dilaporkan di Bolivia serta beberapa negara lain,” kata Barbosa pada Khamis.PauseNextMute
Rantau Amerika sebelum ini merupakan wilayah pertama di dunia yang berjaya mencapai status bebas demam campak pada 2016. Namun, status berkenaan telah hilang dan diperoleh semula beberapa kali sejak itu, dengan kehilangan terbaharu dilaporkan pada tahun lalu.
“Kemunculan semula demam campak di Amerika merupakan satu kemerosotan yang signifikan, namun ia adalah sesuatu yang boleh dipulihkan sepenuhnya,” tambah beliau.
Menyentuh mengenai angka korban, Barbosa memaklumkan sebanyak 32 kematian berkaitan demam campak dilaporkan tahun lepas, manakala 11 kematian telah direkodkan bagi suku pertama tahun 2026 sahaja.
Pihak berkuasa kesihatan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico bakal menjadi tuan rumah bersama bagi kejohanan Piala Dunia musim panas ini. Acara sukan terulung dunia itu dijangka menarik kehadiran jutaan pengunjung dari seluruh dunia, sekali gus meningkatkan risiko penyebaran virus berkenaan secara lebih meluas.
SUMBER : TV3
Baik, baik ada makna tu..

