Penjawat awam rugi RM38,090 angkara sindiket harumanis

Kuala Terengganu: Hajat seorang penjawat awam untuk membeli mangga harumanis tergendala apabila wang di dalam akaunnya sebanyak RM38,090 lesap selepas mengisi butiran peribadi melalui pautan yang diberikan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 54 tahun membuat laporan Polis di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 11 malam semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku semalam ketika mangsa berada di pejabatnya di bandaraya ini sebelum melihat iklan jualan buah mangga harum manis dilaman Facebook.

Katanya, mangsa yang berminat untuk membeli kemudiannya berhubung dengan nombor telefon yang tertera di laman itu.

“Mangsa kemudian menekan pautan yang diberikan dan mengisi butir-butir maklumat perbankan termasuk nombor akaun bank, kata kunci dan nombor kad bank (cvv) di belakang kad.

“Selepas mengisi butiran peribadi itu, mangsa kemudian mendapati terdapat pemotongan wang dari akaun banknya sebanyak tujuh kali.

Beliau berkata, wang berkenaan dimasukkan ke dalam tiga akaun bank yang berbeza hingga mangsa mengalami kerugian sebanyak RM38,090,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang menyedari dirinya terjerat dengan sindiket penipuan pembelian mangga harum manis kemudian membuat laporan Polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, sehingga hari ini Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu merekod empat kes membabitkan penipuan pembelian mangga harum manis dalam talian dengan nilai kerugian keseluruhan kira-kira RM70,000.

“Sindiket menggunakan modus operandi iaitu melalui kaedah menekan pautan (link) sebelum menjerat mangsanya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap orang ramai lebih berwaspada dan membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum menekan mana-mana pautan bagi mengelak berlakunya kejadian sama.

SUMBER : HARIAN METRO