PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara maksimum 14 tahun ke atas peniaga, Rosmaini Abdul Raof kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin sehingga koma, empat tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azman Abdullah turut memerintahkan Rosmaini membayar pampasan RM25,000 kepada Jahidah bermula hari ini menerusi wakil keluarga yang menjaganya.
Gagal membayar pampasan, peniaga itu diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan.
Panel berkenaan sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan dan menolak rayuan akhir Rosmaini terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri Jahidah, 48, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah. – MalaysiaGazette

