ALOR GAJAH – Pemandu van persiaran membawa lapan pelancong warga India yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 212 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan, pagi tadi, disahkan positif dadah jenis syabu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki berusia 55 tahun itu menunjukkan positif methamphetamine.
Menurutnya, nahas kira-kira jam 10.30 pagi itu melibatkan van dipandu suspek warga tempatan yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan.
“Kenderaan ketika itu membawa lapan penumpang warga India mengakibatkan tiga mangsa cedera ringan iaitu lelaki dewasa berusia 52 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berumur 9 dan 13 tahun.
“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemandu van persiaran itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Gajah esok untuk permohonan reman bagi melengkapkan siasatan kes. – MalaysiaGazette

