PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan mengibaratkan Jahidah Nordin yang dicederakan bekas suami, Rosmaini Abdul Raof sebagai mangsa keganasan rumah tangga yang hidup hanya pada nama tanpa keupayaan untuk berfungsi sebagai manusia biasa.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin berkata, perbuatan Rosmaini menyebabkan kemusnahan kekal terhadap kehidupan bekas isterinya sehingga boleh digambarkan seperti `mayat hidup’.
Menurut beliau, kesalahan berlaku dalam konteks keganasan rumah tangga yang melibatkan pelanggaran kepercayaan dalam institusi perkahwinan.
“Mangsa berada dalam keadaan sangat terdedah kerana sedang mengandung manakala responden (Rosmaini) tidak menunjukkan sebarang penyesalan dan memilih untuk melalui perbicaraan penuh.
“Selain itu, responden gagal sepenuhnya untuk memberikan sebarang bantuan atau sokongan kepada mangsa selepas kejadian,” ujar beliau ketika membacakan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara maksimum 14 tahun terhadap Rosmaini, 43, kerana mencederakan Jahidah, 48.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Amril Johari mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Kamal Hisham Jaafar mewakili Rosmaini.
Hakim Noorin selanjutnya menyatakan, keterangan impak mangsa sebagaimana yang dikemukakan di mahkamah amat menyayat hati kerana mangsa memerlukan penjagaan sepenuh masa selama bertahun-tahun tanpa sebarang harapan untuk pulih.
Ujar beliau, kesan daripada perbuatan Rosmaini bukan sahaja menimpa mangsa malah turut melibatkan anak yang dikandung ketika kejadian.
Mahkamah berpendapat, kejadian itu sebenarnya memusnahkan dua kehidupan kerana kanak-kanak tersebut mengalami kelewatan perkembangan dan kecacatan akibat insiden itu.
“Tahap keganasan yang dilakukan amat serius sehingga menyebabkan mangsa berada dalam keadaan vegetatif kekal (kerosakan otak teruk) sehingga ke hari ini.
“Keterangan perubatan menunjukkan kecederaan yang meluas dan dahsyat termasuk pendarahan otak, patah tulang di beberapa bahagian dan kerosakan neurologi yang teruk.
“Keadaan mangsa tidak boleh dipulihkan dan mangsa bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk keperluan asas kehidupan.
“Kes ini bukanlah suatu kes menyebabkan cedera parah yang biasa, fakta kes menunjukkan satu serangan yang kejam dan berterusan oleh seorang suami terhadap isterinya yang ketika itu sedang mengandung.” ujar beliau.
Hakim Noorin selanjutnya menyatakan, dalam kes itu, walaupun Hakim Mahkamah Sesyen telah merujuk kepada prinsip-prinsip hukuman yang betul, panel mendapati, faktor-faktor pemberat yang amat ketara tidak diberikan pertimbangan sewajarnya.
Ujarnya, ia menjadikan hukuman 10 tahun penjara yang dijatuhkan nyata tidak memadai.
Hakim berkenaan seterusnya menyatakan, keterangan perubatan memberikan sokongan yang kukuh kepada kes pendakwaan.
Ujarnya, mangsa mengalami kecederaan yang meluas termasuk pendarahan intracranial, pelbagai patah tulang, trauma teruk yang konsisten dengan serangan berulang yang tidak mungkin dilakukan sendiri oleh mangsa.
Mahkamah turut berpendirian, perayu adalah individu terakhir bersama Jahidah sebelum mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan serius.
Selain itu, tiada keterangan mengenai campur tangan pihak ketiga seperti yang dihujahkan pembelaan manakala tingkah laku perayu selepas kejadian menguatkan inferens kesalahan.
Ujar hakim, asas utama kes Rosmaini adalah tingkah lakumya sebelum dan selepas kejadian yang menunjukkan perayu menghubungi saksi pendakwaan pertama (SP1) untuk mendapatkan bantuan.
Selain itu, perayu mengakui telah bergaduh dengan mangsa dan mengelakkan diri daripada terlibat dengan pengurusan wanita itu di hospital serta menghilangkan diri untuk tempoh yang lama.
Terdahulu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman penjara maksimum 14 tahun ke atas Rosmaini kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah sehingga koma, empat tahun lalu.
Mahkamah menambah hukuman penjara daripada 10 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. Hukuman berkuat kuasa bermula hari ini.
Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Noorin dan Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid turut memerintahkan Rosmaini membayar pampasan RM25,000 kepada Jahidah bermula hari ini menerusi wakil keluarga, Fazariah Nordin yang menjaganya.
Gagal membayar pampasan, peniaga itu diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan.
Panel berkenaan sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan yang memohon hukuman maksimum dan menolak rayuan akhir Rosmaini terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun. – MalaysiaGazette

