BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan apabila setiap kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya menghapuskan subsidi, terutama membabitkan barangan keperluan dan makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata beliau bersama pegawainya sebelum itu sering bertemu Anwar membincangkan mengenai keputusan menarik subsidi telur ayam.
Ini pada mulanya tidak dipersetujui kerana bimbang berlaku kenaikan harga barangan asas berkenaan.
Katanya, selepas meyakinkan Perdana Menteri bahawa kementeriannya telah berbincang dengan penternak, baharu keputusan penarikan subsidi dibuat, yang ternyata harganya tidak naik, malah berlaku pula lambakan.
“Perdana Menteri (Anwar) paling payah nak lawan dengan dia (mengenai) kenaikan harga ini.
“Dia tak setuju, dulu telur ayam, kita nak tarik subsidi, saya dengan pegawai-pegawai terpaksa jumpa dia berkali-kali dengan maklumkan yang kita nak tarik subsidi telur ayam.
“Dia tanya (nanti) tak naik harga ke? Selepas itu dia (berseloroh) dia kata Mat (Mohamad) kalau naik hang (awak) jaga.” Saya kata, takā¦kita dah bincang dengan penternak,” katanya ketika berucap di perkarangan Pejabat AMANAH Pulau Pinang di Sungai Dua, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh bermusuhan dengan penternak kerana yang buat jahat hanya satu atau dua kartel tetapi kebanyakannya (penternak lain) boleh bekerjasama.
“Setakat ini, Alhamdulillah tiga bulan (perang Asia Barat) berlalu yang ia belum memberi kesan besar kepada Malaysia. Harga sayur, ikan, saya pergi negara mana pun sekarang ini, duduklah hotel lima bintang ke apa salah satu saya melawat ialah pasar.
“Jika nak bandingkan harga di Indonesia, China, Korea dan Vietnam, pergi melawat pasar, tengok harga, barang makan ini semua (harga naik) tetapi tengok di Malaysia Alhamdulillah kita berada di negara yang agak baik sekarang ini.
“Ini yang kita nak, di mana kita (kerajaan) boleh tampung, sama seperti kita pesan (kepada rakyat) jangan beli beras cara mengejut dan rakyat ikut maka (harga) dapat kita kawal sekarang ini,” katanya.

